Putrajaya sedar pemuzik bergelut untuk bertahan, kata Nancy

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nancy Shukri; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah; dan Setiausaha Persatuan Pemuzik Tempatan Selangor, John Sham.

PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nancy Shukri hari ini akui golongan kreatif berdepan masa yang sukar, di sebalik kegemparan tentang kenyataannya mengatakan kehidupan pemuzik tidak teruk terkesan dalam krisis Covid-19.

Nancy berkata pandemik itu memberi impak yang mendalam ke atas ahli muzik dan kerajaan sedang mengambil langkah untuk meringankan kesusahan mereka.

Katanya, kerajaan faham pemuzik dan tempat persembahan sedang bergelut untuk bertahan.

Beliau menjawab Persatuan Pemuzik Tempatan Selangor (PPTS), yang menyampaikan kepadanya pandangan ahli muzik yang tersinggung dengan kenyataannya dalam satu program bual bicara di televisyen pada Jumaat.

Bercakap kepada juruacara dalam segmen “Covid-19: Have the Arts Been Forgotten”, beliau berkata “mereka dalam kumpulan muzik dan pemuzik…tidaklah terlalu sukar bagi mereka kerana mudah bagi mereka untuk merancang dan kami sentiasa responsif terhadap mereka. Kebimbangan saya sekarang adalah mereka di agensi pelancongan…”

Pemuzik merasakan kerajaan tidak sedar mereka terpaksa mengurangkan semua perkara dan berdepan masa depan yang amat sukar.

Nancy beritahu PPTS beliau faham kesudahan Covid-19 ke atas pemuzik yang tiada kerja dan menderita dari segi “kewangan dan emosi”.

Beliau menghargai usaha mereka di media sosial dalam menhubungkan orang ramai dan mengangkat semangat rakyat semasa tempoh kawalan pergerakan yang menyebabkan ketiadaan persembahan dan sifar pendapatan.

Beliau mengundang PPTS dan pertubuhan lain yang mewakili industri itu untuk bertemunya bagi memikirkan jalan untuk mengharungi krisis ini bagi mengelakkan kerosakan kekal pada kerjaya dan industri.

Kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi mencapai matlamat itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah bertemu wakil-wakil muzik dari pelbagai badan pada Jumaat bagi membincangkan krisis itu.

Setiausaha PPTS, John Sham berkata pertemuan itu untuk memetakan strategi untuk mencipta peluang pendapatan untuk pemuzik dan memastikan industri terus berdaya maju.

Beliau berkata Saifuddin tahu tahap gangguan dan ketidakpastian yang unik melibatkan industri itu dan meminta pemegang taruh segera bekerjasama mencari penyelesaiannya.

John berkata perbincangan itu positif dan ada harapan ia akan berhasil sekiranya semua pihak berusaha ke arah yang betul.

Beliau berkata kementerian menghulurkan tangan kepada PPTS sejak Januari dalam pertemuan untuk membincangkan cabaran yang dihadapi golongan profesional yang mengadakan persembahan di kelab, pub, dan hotel.

“Kita mesti sedar Covid-19 menyebabkan keadaan kelam-kabut yang memberi kesan pada semua sektor.

“Kita terpaksa berdepan dengan mereka yang tidak faham sepenuhnya kesukaran yang dihadapi industri muzik dan harus bersabar dalam pendekatan kita mencari penyelesaian,” katanya.