Rayuan Zahid untuk cabar 2 undang-undang ditunda 7 Julai

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

PUTRAJAYA: Rayuan Ahmad Zahid Hamidi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mencabar 2 akta berhubung penerimaan bukti dokumen, akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 7 Julai.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili beliau berkata, prosiding berkenaan yang sepatutnya didengar hari ini, dijadualkan semula ke tarikh baru.

Pada 18 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan bekas timbalan perdana menteri itu untuk mencabar dari segi perlembagaan Seksyen 41A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 71 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya berkata permohonan Zahid pramatang memandangkan perbicaraan belum bermula.

Hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan pendakwaan serta menolak permohonan Zahid dengan menyatakan persoalan berhubung bukti dokumen boleh dibangkitkan oleh pihak pembelaan semasa perbicaraan.

Zahid menghadapi 47 pertuduhan, 12 daripadanya adalah pecah amanah jenayah (CBT), 8 rasuah dan 27 pengubahan wang haram yang membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi kini masih di peringkat pendakwaan dengan 43 saksi telah memberi keterangan.

Sementara itu, Teh turut memaklumkan bahawa rayuan anak guamnya juga di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Zahid untuk menggabungkan 12 pertuduhan CBT kepada tiga pertuduhan ditetapkan pada 23 Jun.

Beliau berkata prosiding itu sepatutnya didengar pada 16 April lepas.

Pada 8 November, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zahid untuk menggabungkan pertuduhan itu yang dihadapinya melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati 12 pertuduhan yang dihadapi Zahid adalah jelas dan boleh difahami tertuduh untuk menyediakan pembelaan diri serta tidak menimbulkan sebarang isu prasangka.

Penetapan tarikh baru berkenaan susulan lanjutan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei. Mahkamah kini hanya mengendalikan prosiding reman, kes baru dan kes jaminan.