Sapura Energy potong 50% gaji pengurusan kanan

Sapura Energy berkata, langkah penjimatan dan potongan gaji diambil bagi mengurangkan impak pandemik Covid-19 dan harga minyak mentah yang rendah.

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd mengumumkan beberapa langkah penjimatan peringkat dalaman, termasuk pemotongan gaji sebanyak 50% untuk pasukan kepimpinannya berkuat kuasa serta-merta, pelarasan semula gaji pekerja antara 5 dan 45% selepas Ramadan, serta pengurangan tenaga kerjanya.

Dalam kenyataan hari ini, Sapura Energy berkata, langkah itu diambil untuk mengurangkan impak daripada pandemik Covid-19 dan harga minyak mentah yang rendah.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Shahril Shamsuddin berkata, pandemik dan harga minyak mentah yang rendah memberi kesan kepada pengukuhan kewangan syarikat.

“Bagi meneruskan perniagaan, kami perlu melaksanakan langkah penjimatan dengan segera untuk melindungi aliran tunai kami,” katanya dalam nota kepada pekerja syarikat itu hari ini.

Walaupun menyedari keputusan itu mungkin sukar bagi kebanyakan pekerja, Shahril berkata, pada asasnya, syarikat akan memastikan mereka yang berpendapatan rendah akan kurang dibebani oleh pemotongan tersebut.

Beliau turut memberi jaminan kepada pekerja bahawa syarikat mempunyai strategi yang menyeluruh untuk memacu Sapura Energy keluar daripada cabaran yang sedang dihadapi, yang juga menjejaskan banyak perniagaan lain.

“Landskap industri akan menjadi sukar, pada masa depan. Bagaimanapun, jika kita mengekalkan daya tahan, kita akan dapat keluar daripada cabaran ini dan menjadi lebih kukuh,” katanya.