Seorang warga emas korban ke-99 Covid-19

PUTRAJAYA: Seorang warga emas meninggal dunia berkaitan Covid-19, ketika bilangan pesakit pulih meneruskan trend 2 kali ganda bilangan kes jangkitan baru.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan mangsa berusia 78 tahun itu merupakan kes kematian ke-99.

Dengan latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, dan strok, mangsa dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang, Johor pada 7 Apr.

“Disahkan meninggal dunia pada 27 Apr 4.31 pagi,” katanya pada sidang media hari ini.

Perkembangan ini ketika 95 pesakit diumumkan pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh 3,957 kes, bersamaan 67.9% daripada 5,820 kes positif Covid-19.

Sementara itu, 40 kes jangkitan baru dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 1,764 kes,” katanya.

Sehingga kini, seramai 37 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 17 kes memerlukan bantuan pernafasan.