Simpati dibuli rakan sekolah, Tom Hanks hantar mesin taip Corona kepada Corona

Tom Hanks menulis petikan skrip yang dilakonkan dalam filem animasi Toy Story, ‘you got a friend in me’ kepada kanak-kanak dibuli kerana namanya Corona. (Gambar Instagram)

Aktor Hollywood, Tom Hanks menghantar surat dan mesin taip jenama Corona kepada seorang kanak-kanak Australia yang dibuli kerana namanya, Corona.

Rangkaian televisyen Australia, 7 News melaporkan, Corona De Vries, 8, dari Gold Coast, Queensland menghantar surat kepada aktor berkenaan selepas dia dan isterinya, Rita, diarahkan menjalani kuarantin selama 2 minggu selepas disahkan positif Covid-19.

Budak lelaki itu menulis: “Saya membaca berita mengenai kamu dan isteri yang disahkan positif Covid-19. Adakah kamu okay?”

Katanya, dia menyukai namanya – Corona namun, beberapa budak di sekolah memanggilnya “koronavirus” menjadikannya sedih dan marah.

Hanks membalas surat berkenaan yang ditaip menggunakan mesin taip jenama Corona dan menyatakan surat itu membuatkan dia dan isteri berasa lebih hebat.

“Kamu satu-satunya manusia yang saya tahu memiliki nama Corona – ia bagai lingkaran sekeliling matahari, satu mahkota.

“Saya rasa mesin taip ini sesuai untuk kamu. Minta bantuan orang dewasa bagaimana untuk menggunakannya dan tulis semula kepada saya,” katanya dalam surat berkenaan.

Di akhir surat itu, Hanks turut menulis petikan skrip yang dilakonkan dalam filem animasi Toy Story, “you got a friend in me”.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]