Terpisah dengan keluarga sejak PKP, warga Singapura rayu kelonggaran

Ahmad Abdillah Haron dan anak-anaknya Aidan Ahza Ar Danish dan Adam Mukhriz Al Khair. (Semua gambar ihsan Ahmad Abdillah Haron)

PETALING JAYA: Jurutera warga Singapura, Ahmad Abdillah Haron berharap ada di sisi isterinya yang berasal dari Malaysia ketika wanita itu melahirkan anak ke-3 mereka.

Tetapi hari bersejarah itu datang dan berlalu tanpa kehadiran Ahmad. Pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan Malaysia menyebabkan keluarga itu dipisahkan oleh Tambak Johor sejak 18 Mac dan dia tidak dapat menyambut kelahiran puterinya, Isnin lalu.

Ahmad, 34, biasanya berulang-alik bekerja di Singapura dari kediaman mereka di Iskandar Puteri, Johor.

Ketika Malaysia mengumumkan perintah duduk di rumah dan penutupan sempadan, Ahmad bergegas kembali pada awal 17 Mac, dengan tujuan membawa keluarganya untuk tinggal di rumah ibu bapanya di Singapura.

Bayi pasangan itu, Aisyah Soffya Az Zahra, yang dilahirkan di Iskandar Puteri, Johor, pada Isnin.

Barisan panjang di sempadan memaksa mereka berpatah balik. Ahmad bermalam di rumah dan pergi bekerja di Singapura pada keesokan harinya, menyangkakan dia mampu menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 2 minggu. Tetapi PKP kini dilanjutkan sehingga 12 Mei, tempoh keseluruhan adalah 8 minggu.

“Saya akan terus tinggal di sana (di Johor) jika saya tahu PKP akan dilanjutkan begitu lama,” kata Ahmad kepada FMT.

“Saya amat sedih saya tidak dapat mengazankan anak perempuan saya ketika dia dilahirkan.

“Kalimat pertama yang harus didengar bayi baru lahir adalah laungan azan dan syahadah sehingga mereka mengenali Islam, dan yang terbaik adalah jika ia dilakukan oleh bapa mereka,” katanya.

Adam Mukhriz Al Khair dan Aidan Ahza Ar Danish tidak bertemu bapa mereka sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac.

Pasangan itu turut dikurniakan 2 anak lelaki berusia 10 dan 1 tahun.

Kehamilan isterinya menjadi kebimbangan utama Ahmad sejak berbulan-bulan, dan isterinya masih lemah setelah melahirkan anak, katanya. Tambah membimbangkan, anaknya yang baru dilahirkan itu mengalami demam panas dan dimasukkan ke hospital selama 3 hari.

Ahmad membuat rayuan mengenai keadaannya kepada Kementerian Luar Singapura, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Jabatan Imigresen dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN).

Malah dia turut menulis kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di akaun Facebooknya.

Namun segala usahanya menemui jalan buntu.

Pegawai imigresen Malaysia berkata sebagai warga Singapura, Ahmad hanya boleh memasuki Malaysia dengan pas sosial jangka panjang, di mana ia mengambil masa 6 bulan hingga setahun untuk mendapat kelulusan. Dia sebelum ini menggunakan pas sosial 30 hari untuk bersama keluarganya.

“Isteri saya kuat tapi saya tahu dia berharap saya ada di sana. Saya tahu dia sedih dan bimbang,” katanya. Isterinya memberitahu anak mereka yang berusia setahun bergegas ke pintu sebaik mendengar bunyi motosikal, dan kecewa sebaik mendapati ia bukan dirinya.

“Ramai lagi warga Singapura seperti saya yang terpisah daripada keluarga mereka ketika PKP, dan saya berharap kerajaan Malaysia dapat memberi sedikit kelonggaran kepada kami,” katanya.