Usaha lindungi sumber rezeki B40 ketika krisis Covid-19

Usaha perlindungan sosial giat dilaksanakan bagi menjaga kebajikan dan mata pencarian kumpulan B40 di Malaysia yang berdepan krisis akibat Covid-19 yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Setakat ini, 3 pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan, di mana 2 pakej Prihatin dilancarkan untuk memberi bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Golongan ini termasuk penjaja, usahawan mikro, artis dan pekerja tidak formal lain yang kehilangan mata pencarian akibat krisis ini.

Walaupun langkah proaktif ini memberikan sedikit kelegaan kepada golongan B40, strategi sistem perlindungan sosial Malaysia secara keseluruhannya perlu diberi perhatian.

Ini termasuklah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), dalam fasa pemulihan ekonomi selepas ini dan untuk jangka masa panjang.

Ramai yang menjangkakan krisis ini akan membawa perubahan besar di serata dunia dan menggelarnya “Normal baru”.

Pastinya banyak perubahan akan berlaku. Kehidupan yang kita jalani selama ini akan bertukar. Dunia pekerjaan juga dijangka berubah, namun sifat perubahan ini belum dikenal pasti.

Salah satu aspek “Normal baru” perlindungan sosial di Malaysia adalah mencari jalan mengukuhkan sistem perlindungan sedia ada dengan menyediakan perlindungan lebih baik kepada pekerja tidak formal yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40.

Kaji selidik Jabatan Statistik Malaysia baru-baru ini menunjukkan sektor pertanian, perkhidmatan dan mereka yang bekerja sendiri mengalami kadar kehilangan pekerjaan tertinggi semasa fasa pertama PKP yang bertujuan menghentikan penularan wabak dalam separuh ke-2 Mac.

Sektor dan jenis pekerjaan tersebut terdiri daripada pekerja B40, di mana bekerja atas talian atau dari rumah bukan pilihan bagi mereka.

Cabaran utama perlindungan sosial adalah melindungi golongan memerlukan dengan cara paling berkesan, sama ada semasa krisis Covid-19 sekarang dan pada masa depan.

Tiga aspek utama adalah:

Pertama, perlindungan melalui sokongan pendapatan langsung dalam bentuk bantuan tunai adalah penting. Langkah ini menyediakan bantuan jangka pendek untuk mengurangkan tekanan kewangan, menyokong usaha pemulihan ekonomi jangka sederhana serta merangsang perbelanjaan semasa kemerosotan ekonomi.

Untuk melindungi golongan B40 yang terjejas akibat krisis Covid-19, terutamanya mereka yang bekerja secara tidak formal, perlindungan pendapatan hendaklah diasingkan daripada insurans sosial formal seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Secara prinsipnya, sokongan pendapatan boleh disalurkan secara khusus kepada pekerja sektor tidak formal yang kehilangan pekerjaan atau mata pencarian semasa krisis. Namun begitu, ciri tidak formal ini menjadikan bantuan khusus tersebut usaha mencabar.

Sokongan melibatkan kumpulan tertentu – misalnya pekerja dalam bidang perkhidmatan perkongsian kenderaan – berisiko mengecualikan sebahagian besar golongan B40. Krisis ini mengheret ramai rakyat ke kancah kesulitan ekonomi.

Program Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diperkenalkan sebagai sebahagian pakej Prihatin merupakan langkah penting menuju ke arah betul. Program ini memiliki ciri-ciri progresif dan memberi penekanan untuk melindungi golongan B40.

Tambahan pula, pemberian adalah secara automatik kepada semua penerima program Bantuan Sara Hidup (BSH) dan rakyat Malaysia yang layak berdasarkan pemfailan cukai pendapatan pada tahun-tahun sebelumnya.

Pendaftaran bagi penerima bantuan baru juga boleh dilakukan dengan mudah secara atas talian menerusi laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), membolehkan pembayaran dibuat dengan pantas.

Kedua, bantuan tunai tambahan mungkin diperlukan. Pakej sokongan ekonomi ini seolah-olah menganggap krisis Covid-19 akan berlalu dalam masa 2 hingga 3 bulan – semua bayaran BPN yang dijadualkan akan tamat selepas Mei 2020. Bagaimanapun, ramai yang menjangkakan impak krisis ini ke atas B40 akan berlarutan lebih lama.

Sekiranya bantuan tunai tambahan diperlukan, penyaluran bantuan ini kepada penerima program BSH dan bukannya penerima BPN yang lebih ramai harus dipertimbangkan. Ini dapat memastikan bantuan tunai bernilai lebih tinggi dapat disalurkan kepada B40 yang merupakan golongan paling memerlukan sokongan ini.

Menurut anggaran Bank Dunia, program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini – kriteria yang mirip dengan program BSH – berjaya diedarkan kepada 85% isi rumah B40 pada 2016.

Pelaksanaan bantuan tunai tambahan kepada penerima BSH akan turut menyokong langkah-langkah lain di bawah pakej Prihatin yang menggunakan KWSP dan Perkeso. Langkah-langkah ini telah memberi sedikit perlindungan pendapatan kepada golongan M40.

Ketiga, usaha menghebahkan program BSH dan BPN kepada isi rumah berpendapatan rendah boleh diperbanyakkan. Hebahan tentang bantuan yang disediakan amatlah penting. Kempen komunikasi berkesan selalunya menggunakan siaran media dan akhbar, serta liputan platform digital seperti media sosial dan aplikasi pembayaran mudah alih.

Namun, ini sahaja tidak mencukupi. Kempen komunikasi harus dilaksanakan bersama kerajaan negeri dan tempatan, organisasi keagamaan, organisasi kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kumpulan tidak celik digital sedar tentang bantuan yang disediakan kerajaan.

Usaha komunikasi juga perlu fokus kepada kumpulan di kawasan tertentu yang kurang mendapat bantuan supaya usaha ini dapat dilaksanakan dengan cekap.

Usaha untuk menghebahkan maklumat perlu dilengkapi proses pelaksanaan mudah. Proses pendaftaran BSH dan BPN hendaklah dipermudahkan dan tidak membebankan mereka yang tidak mempunyai kemudahan internet, terutamanya masyarakat luar bandar dan mereka yang berada jauh di kawasan pedalaman.

Tambahan pula, kaedah pelaksanaan bantuan ini harus dipastikan tidak menambah risiko penularan wabak Covid-19. Sejajar langkah mengekalkan jarak sosial, semua pengedaran tunai seboleh-bolehnya dilakukan secara elektronik.

Krisis Covid-19 merupakan cabaran global dan Malaysia tidak bersendirian dalam perjuangan ini. Dalam krisis ini, Malaysia telah mampu untuk sedikit sebanyak menggunakan sistem perlindungan sosial membantu golongan memerlukan.

“Normal baru” memberi peluang kepada negara untuk memperkukuhkan lagi sistem perlindungan sosial supaya dapat melindungi rakyat dengan lebih berkesan dan tiada kelompok rakyat di negara ini ketinggalan.

Achim Schmillen ialah ahli ekonomi kanan Bank Dunia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.