Zahid perjelas usaha BN bantu Rohingya, tanpa beri taraf warganegara

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad zahid Hamidi berkata, bantuan diberikan kepada komuniti Rohingya tidak menjejaskan dasar kerajaan mengenai orang asing yang mencari kerja di Malaysia, kerana mereka tetap tidak boleh mohon kerakyatan.

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan semula usaha dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk komuniti Rohingya, susulan penularan berita palsu menuduh komuniti itu membuat pelbagai tuntutan, termasuk taraf kewarganegaraan.

Zahid berkata, semasa beliau memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri, segala bantuan dan sokongan yang disalurkan kepada komuniti Rohingya dibuat atas dasar kemanusiaan.

“Saya sendiri pernah meninjau keadaan ratusan ribu pelarian di Cox Bazaar, Bangladesh dengan mengarahkan pembinaan sebuah hospital medan bernilai RM3.5 juta di kem pelarian Kutupalong bagi memberi rawatan kesihatan kepada pelarian Rohingya.

“Bekalan makanan dan peralatan bernilai RM4 juta juga disalurkan oleh kerajaan Malaysia ketika itu kepada pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam Presiden PKR, Anwar Ibrahim meminta pemimpin negara bertegas dalam isu pelarian Rohingya dan tidak mengikut sentimen serta selera rakyat semata-mata.

Ia berikutan tindakan pihak berkuasa menghalang 2 bot membawa pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara lebih seminggu lalu.

Zahid berkata, kerajaan pimpinan BN sebelum ini turut berpendirian bahawa komuniti Rohingya dibenarkan untuk bekerja di beberapa industri terpilih sebagai persediaan untuk ditempatkan di negara ke-3.

“Inisiatif membenarkan etnik Rohingya bekerja, secara tidak langsung, dapat menangani isu-isu pemerdagangan orang dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurutnya, Putrajaya turut berkerjasama dengan kerajaan Qatar menerusi Qatar Development Fund (QDF) pada 2017 yang bersetuju untuk memberi penajaan dana terhadap 3 projek, iaitu latihan dalam sektor perladangan dan perkilangan, mengendalikan pra-sekolah dan sekolah rendah bagi anak-anak Rohingya serta skim perlindungan insurans untuk rawatan dan perubatan.

“Qatar meminta Malaysia menyediakan 1 pelan perlindungan insurans menerusi sebuah syarikat bagi memastikan pelarian Rohingya mendapat rawatan perubatan.

“QDF akan membiayai bayaran premium insurans itu dan kemudahan itu khas kepada pelarian Rohingya di Malaysia,” katanya.

Zahid berkata, bantuan diberikan Putrajaya kepada komuniti Rohingya itu tidak menjejaskan dasar kerajaan mengenai orang asing yang mencari kerja di Malaysia kerana mereka tetap tidak boleh mohon kerakyatan.

“Mereka mesti pulang ke negara asal apabila tempoh kerja mereka tamat. Malah perjalanan sekolah anak-anak Rohingya juga hendaklah mengikut silibus sistem pendidikan Myanmar sekarang. Begitu juga dengan status pelarian Rohingya dan ‘orang hanyut’ lain.

“Mereka akan berada di sini bagi tempoh tertentu dan diberikan pelbagai bantuan kemanusiaan, sebelum dihantar ke negara ke-3 atau kembali ke negara asal. Saya percaya dasar ini masih kekal,” katanya.