Aktivis gesa pemimpin politik, rakyat lawan komen anti-Rohingya

Aktivis hak asasi manusia, John Quinley III berkata, etnik Rohingya melarikan diri dari kem pelarian di Bangladesh kerana ia tidak sesuai didiami. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Pemimpin politik dan orang ramai digesa tampil menentang gelombang komen anti-Rohingya dan ancaman terhadap aktivis minoriti itu.

Aktivis hak asasi manusia, John Quinley III, yang mendokumenkan pelanggaran hak asasi manusia terhadap Rohingya di Myanmar, Bangladesh, Malaysia dan India, berkata kempen menentang Rohingya ketika ini membimbangkan.

Malaysia menyokong Rohingya selama bertahun-tahun dan menunjukkan solidariti dengan perjuangan mereka.

Tetapi, bekas perdana menteri, Najib Razak baru-baru ini menyokong tindakan pihak berkuasa negara menolak bot membawa pelarian Rohingya daripada mendarat.

Quinley berkata, Rohingya sepatutnya dibenarkan mendarat di Malaysia kerana tindakan menolak mereka ke laut semula ialah “satu bentuk hukuman mati”.

Beliau menggesa semua negara Asean untuk bertindak seperti usaha menyelamat yang diselaraskan pada 2015 susulan ketibaan ramai etnik Rohingya dengan bot.

Beliau turut menyentuh peranan media dengan berkata, wartawan dan media perlu melaporkan kebenaran serta mendengar suara semua pihak, termasuk pelarian untuk mendapatkan berita seimbang.

“Media tidak patut menyebarkan ucapan kebencian, keganasan atau dasar anti-imigran kerana ini memudaratkan nyawa mereka.”

Empati terhadap pelarian

Quinley, yang bekerja dengan sebuah pertubuhan hak asasi manusia dikenali sebagai Fortify Rights, berkata orang ramai perlu empati dengan Rohingya yang ditindas tentera Myanmar, tidak berkerakyatan dan menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.

“Tentera Myanmar menindas bukan saja Rohingya, tetapi juga kumpulan etnik lain, termasuk Kachin, Shan dan Karen.”

Katanya, beliau pernah ke Cox’s Bazar di Bangladesh yang menempatkan kem pelarian, dan pelarian di sana melarikan diri kerana hidup mereka dibatasi sedikit akses kepada pendidikan rasmi, sumber pendapatan dan kebebasan bergerak.

Sementara itu, Che Amran yang merupakan anggota kumpulan nasyid Raihan dan pernah menyertai sebuah konsert amal pada 2017 untuk membantu pelarian Rohingya, berkata tiada keperluan untuk menyerang minoriti itu.

Beliau berkata, Malaysia dan rakyatnya pernah melindungi serta menyokong golongan itu.

Katanya, mereka yang mahu membantu etnik itu perlu bertindak mengikut kemampuan sendiri dan tidak mencari publisiti untuk berbuat demikian.

“Jika anda tidak mahu bantu tak apa, tetapi jangan kata perkara tidak sesuai dan negatif (mengenai komuniti itu). Khasnya pada bulan Ramadan, kita perlu menjaga tutur kata dan tindakan kita.”