Beberapa kes Covid-19 di Pasar Borong Selayang hadir ijtimak tabligh

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat beberapa individu yang disahkan positif Covid-19 di Pasar Borong Selayang didapati menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

Perkembangan itu menjadikan lokasi itu sebagai kluster “pasar borong” wabak berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah tidak menjelaskan perkara tersebut secara terperinci ekoran ia masih dalam siasatan KKM.

“Kalau lihat di pasar borong dalam kawasan PKPD, ada pekerja yang hadir perhimpunan Sri Petaling dan jangkiti orang lain,” katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Jelasnya, seramai 74 kes positif dikesan daripada kluster tersebut namun 61 kes sahaja yang melibatkan kontak rapat di Pasar Borong Selayang.

“13 bukan di pasar borong (Selayang) tapi melibatkan peniaga-peniaga di pasar lain.

“Mereka beli borong sayur dan sebagainya dan jual di pasar lain. Contohnya, pasar di Bahau.”

Oleh itu, katanya, KKM sedang mempergiatkan usaha mengesan kes aktif Covid-19 di kawasan pasar terbabit.

Beliau juga menggalakkan pengunjung pasar dan peniaga di pasar lain yang dikhuatiri terdedah dengan kes positif untuk membuat saringan ke fasiliti kesihatan.

Terutamanya, mereka yang mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selsema.

PKPD di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur berkuat kuasa 20 April hingga 3 Mei.

Pasar Borong Kuala Lumpur antara tumpuan utama untuk barangan mentah di ibu negara.