Denda maksimum timbalan menteri, exco bukti sistem kehakiman telus, kata MB Perak

Menteri besar Perak mahu semua pihak ambil pengajaran daripada keputusan mahkamah terhadap timbalan menteri dan exconya.

PETALING JAYA: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata keputusan Mahkamah Majistret Gerik mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Razman Zakaria kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) bukti sistem kehakiman telus.

Beliau berharap isu membabitkan exco Perak dan timbalan menteri kesihatan itu tidak lagi dipolitikan susulan keputusan itu.

“Tindakan telah diambil,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada penyokong untuk bekas pemain bola sepak Perak di Gopeng hari ini.

Faizal berkata, isu tersebut juga perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak supaya mematuhi PKP bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

“Saya berharap timbalan menteri kesihatan dan exco dapat meneruskan tanggungjawab mereka berkhidmat untuk negara dan negeri dengan mengikut lunas-lunas undang-undang sedia ada,” katanya.

Pada 18 April lalu, Azmi memuat naik gambar beliau bersama Razman dan beberapa individu menghadiri jamuan di Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong.

Azmi yang juga ahli Parlimen Bagan Serai kemudiannya memohon maaf atas kesilapan itu selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Razman yang juga Adun Gunung Semanggol dan pesuruhjaya PAS Perak turut memohon maaf menerusi Facebook dan memberi keterangan di IPD Kerian.