Fuziah kesal jika tuduhan berkait dakwaan kesesakan di CIQ bersifat politik

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan kesal jika pertuduhan terhadapnya, berkait dakwaan kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), bersifat politik, mengatakan ia tidak seharusnya berlaku.

Fuziah Salleh berkata beliau akan terus pertahankan kebenaran dan haknya serta pastikan hak itu akan terserlah jua.

“Sebentar tadi saya telah menerima satu notis saman daripada Majistret Johor Bahru bertujuan memaklumkan kepada saya untuk hadir ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada hari esok 8 pagi.

“Surat notis tersebut menyatakan di mana ianya berkenaan ‘Kanun Keseksaan Seksyen 505(b)’,” katanya dalam kenyataan.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dikatakan membuat kenyataan yang membawa kepada tuduhan terhadapnya di Facebook.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, bawah Seksyen 500 berkenaan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, menyentuh kenyataan yang mungkin menyebabkan kegentaran kepada awam.