Garis panduan untuk wakil rakyat ketika PKP

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa melawat gelandangan di pusat penempatan sementara di Kuala Lumpur sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

PETALING JAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan garis panduan mengenai kaedah kebenaran pergerakan untuk wakil rakyat di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam surat bertarikh 21 April lalu kepada Parlimen, Ketua Pengarah MKN, Mohd Rabin Basir berkata, ahli Parlimen dan Adun tertakluk kepada PKP seperti orang lain dan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.

Menurut pekeliling itu, wakil rakyat dibenarkan membawa bersama 2 individu lain ketika lawatan ke lapangan.

Lawatan itu hanya untuk tujuan meninjau keadaan rakyat atau menyampaikan bantuan kebajikan di kawasan Parlimen ke DUN mereka.

Disarankan tempoh setiap lawatan kurang 10 minit dengan setiap program tidak melebihi sejam.

Wakil rakyat tidak dibenarkan menyertai kenduri, majlis keraian, mengadakan mesyuarat tertutup, bersalaman atau bersentuhan.

Mereka juga dilarang mengadakan mesyuarat dan berkumpul di tempat terbuka, termasuk menghimpunkan pengundi untuk menyambut kehadiran wakil rakyat.

Wakil rakyat dilarang memuat naik gambar ke media sosial yang boleh menimbulkan keresahan rakyat.

Mereka juga tidak digalakkan mengadakan sidang media, temuramah atau berucap.

Walaupun mereka tidak perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ketika mengadakan lawatan, mereka perlu mengamalkan penjarakan sosial, mencuci tangan atau menggunakan cecair nyahkuman dan memakai topeng jika mempunyai simptom.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria hari ini didenda RM1,000 masing-masing kerana melanggar PKP dengan menghadiri sebuah jamuan makan tengah hari di Lenggong 2 minggu lalu.

Mereka ialah 2 wakil rakyat pertama yang didakwa mengingkari PKP.