Hotel besar 5 bintang akan henti operasi hingga akhir tahun

PETALING JAYA: Sebuah hotel 5 bintang dengan 500 bilik di Lembah Klang bersedia untuk menghentikan operasi sehingga akhir tahun ini, ketika hotel di seluruh negara terjejas akibat impak Covid-19.

Dalam memo kepada pekerja hotel besar itu yang terbocor, mereka diminta mengambil cuti tanpa gaji sepanjang penutupan itu.

Kakitangan tetap diberikan jaminan pekerjaan jika hotel itu kembali beroperasi.

“Kakitangan turut dibenarkan bekerja separuh masa atau secara kontrak dengan syarikat lain,” kata sumber kepada FMT.

Difahamkan, kakitangan akan menerima bayaran gaji setengah bulan bagi April.

“Kami berharap semua kakitangan bersetuju menyerahkan borang cuti tanpa gaji secara sukarela. Ini untuk tempoh sehingga Disember 2020 atau Jun 2021 mengikut hasrat anda,” kata pemilik syarikat itu yang juga taikun terkenal dalam surat berasingan.

Dalam surat yang dilihat FMT, beliau menjanjikan pelan “transformasi besar” bagi mereka yang memilih untuk kekal bersama hotel itu.

Pihak pengurusan hotel itu berkata, ia tiada pilihan kecuali membuat keputusan drastik itu akibat kehilangan pendapatan susulan penutupan perniagaan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) yang “menyebabkan kita semua dalam keadaan amat sukar”.

Tetapi, kakitangan yang dihubungi FMT bimbang mereka tidak layak mendapat pampasan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kerajaan.

“Mereka yang memilih cuti tanpa gaji tidak dianggap diberhentikan kerja,” kata seorang pekerja.

Pekerja yang berpendapatan bawah RM4,000 juga tidak dilindungi program pengekalan pekerjaan (ERP), inisiatif subsidi gaji kerajaan bagi memastikan majikan yang mengambil bahagian mengekalkan pekerja mereka selama 6 bulan.

Seorang pekerja memberitahu FMT, hotel itu tidak mencarum untuk SIP, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso sejak Jun 2019, walaupun membuat potongan daripada gaji pekerja.

Seorang jurucakap hotel itu enggan mengulas kerana pihak pengurusan sedang berunding dengan pihak berkuasa berkaitan.