Ibu tunggal dipenjara 30 hari kerana langgar PKP mahu hukuman disemak

PETALING JAYA: Seorang ibu tunggal pergi ke Mahkamah Tinggi untuk menyemak hukuman penjara 30 hari kerana melanggar perintah kawalan pergerakan 2 minggu lalu.

B Lisa Christina, ibu kepada seorang anak lelaki berusia 6 tahun, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan majistret menjatuhkan hukuman pada 21 Apr. Dia sedang menjalani hukumannya.

Mereka yang didapati melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) berdepan denda maksimum RM1,000, penjara 6 bulan, atau kedua-duanya.

Peguam A Srimurugan berkata mengenakan hukuman penjara ke atas pesalah PKP adalah tidak wajib.

Pusat Bantuan Guaman Selangor mengambil kes Lisa, dan permohonan semakan akan didengar di depan seorang hakim Mahkamah Tinggi di Shah Alam esok.

Peguam Rajpal Singh akan berhujah bagi pihaknya.

Kertas mahkamah yang difailkan pada 22 Apr dan dilihat FMT menyatakan Lisa memohon kesnya disemak, mengatakan terdapat perbezaan dalam hukuman oleh majistret sama pada hari sama terhadap kesalahan sama.

Lisa berkata dia dituduh bersama 2 yang lain yang hanya dikenakan denda maksimum RM1,000.

Dia melakukan kesalahan itu di Taman Subang Mas di Subang Jaya pada sekitar 5pm pada 12 Apr.

Dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan dan dibawa ke mahkamah kemudian untuk berdepan tuduhan.