Kelantan sifar kes Covid-19, pemimpin nasihat terus patuh PKP

Orang ramai berbaris untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

PETALING JAYA: Seluruh Kelantan kini mencatatkan sifar kes aktif Covid-19 yang dirawat di hospital membabitkan semua daerah di negeri itu.

Infografik Jabatan Kesihatan Negeri menunjukkan tiada lagi kes aktif wabak itu daripada 155 kes yang direkodkan di negeri itu dengan 3 kematian sebelum ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan 4 zon bagi mengklasifikasikan kawasan Covid-19 berdasarkan jumlah kes, di mana zon hijau adalah kawasan yang tiada kes positif.

Keputusan ini menjadikan Kelantan negeri ke-2 selepas Perlis menjadi zon hijau selepas seorang pesakit yang dirawat di Tanah Merah sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini.

Jabatan Kesihatan Kelantan juga menasihatkan orang ramai kekal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kekal berada di rumah.

“Basuh tangan dengan air dan sabun, amalkan penjarakkan sosial dan duduk di rumah jangan keluar,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Hussin mengesahkan perkara itu di mana semua 10 daerah di Kelantan tiada lagi kes aktif Covid-19.

Infografik Jabatan Kesihatan Negeri menunjukkan tiada lagi kes aktif Covid-19 daripada 155 kes yang direkodkan di Kelantan. (Gambar KKM)

“Memang Kelantan hari ini tiada lagi kes yang dirawat di hospital,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan sehingga kini Kelantan mencatatkan hari ke-12 berturut-turut tiada kes baru Covid-19.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Izani Hussin turut menasihati rakyat negeri itu supaya kekal mematuhi PKP.

“Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan semua pihak atas kerjasama yang diberikan.

“Semoga dengan keberkatan bulan Ramadan ini menjadi negeri Kelantan dan negara kita Malaysia bebas daripada wabak Covid-19, InsyaAllah,” katanya menerusi Facebook.

Sebelum ini, 9 daerah negeri itu dijangkiti Covid-19 manakala hanya 1 daerah iaitu Machang mencatatkan 0 kes sejak adanya penularan wabak tersebut.

Menerusi infografik yang dikeluarkan KKM, setakat hari jumlah kawasan yang berada di zon merah terus mencatatkan pengurangan kepada 12.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, mengumumkan Perlis muncul sebagai negeri pertama zon hijau Covid-19 kerana merekodkan kes jangkitan sifar bagi tempoh melebihi 2 minggu.

Katanya, berkata jumlah kes jangkitan baru Covid-19 turut mencatatkan penurunan di negeri lain sambil memaklumkan sesebuah negeri itu boleh diumumkan kembali ke zon hijau selepas 14 hari tiada kes positif baru direkodkan.

Noor Hisham juga melahirkan kebimbangan apabila sikap segelintir masyarakat, terutama penduduk di zon hijau yang mula mengambil mudah situasi tiada kes baru dilaporkan di kawasan mereka.

Katanya, KKM juga khuatir masyarakat alpa lalu mengambil mudah nasihat kesihatan yang dikeluarkan kerana memikirkan wabak itu hampir selesai.

“Pada hakikatnya, peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan ini masih belum tiba ke penghujungnya. Oleh itu, KKM menyeru kepada semua masyarakat termasuk mereka di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon hijau agar tidak leka dan kekal mematuhi PKP.