Korban Covid-19 cecah 100 orang

PUTRAJAYA: Terdapat 1 kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, melibatkan seorang rakyat tempatan berusia 67 tahun.

Mangsa merupakan korban ke-100 wabak koronavirus itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Lelaki itu mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan strok. Dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 4 Apr, mangsa disahkan meninggal dunia pada 28 April 9.40 pagi.

“Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya.

Sementara itu, terdapat 31 kes jangkitan baru hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif 1,719 kes.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 36 kes sedang dirawat di unit rawapan rapi, dengan 17 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Angka pesakit Covid-19 yang pulih dan dibenarkan keluar wad terus mengatasi kes jangkitan baru, dengan 75 diumumkan hari ini.

Perkembangan ini menjadikan seramai 4,032 orang daripada 5,851 kes keseluruhan sembuh.

Sementara itu, Hisham dalam pembentangan laporannya hari ini berkata peningkatan kes pulih mengatasi kes aktif sepanjang perintah kawalan pergerakan fasa 3 berjaya meratakan lengkung dan negara kini memasuki fasa pemulihan.

Katanya, fasiliti kementerian dapat menampung bilangan pesakit Covid-19, termasuk kapasiti ICU dan kapasiti penggunaan mesin bantuan pernafasan, kerana tindakan proaktif dan agresif dalam pemendungan koronavirus itu sebelum dan semasa PKP.

“Namun demikian, PKP tidak boleh menghapuskan Covid-19 sepenuhnya. Malahan masyarakat perlu bersedia menghadapi virus ini untuk tempoh yang lebih panjang,” katanya.

Mengingatkan masih belum ada vaksin untuk melawan jangkitan Covid-19, Hisham berkata norma kehidupan yang baru, seperti penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan diri dengan kerap, perlu diterapkan ke semua peringkat masyarakat agar menjadi amalan semua.

PKP akan memasuki fasa ke-4 esok.