Malaysia lewat 9 hari bendung kluster tabligh

Meskipun negara mempunyai kluster perhimpunan tabligh namun KKM berjaya mengekang penularan Covid-19.

PUTRAJAYA: Malaysia dilihat lambat mencapai trend angka 1 digit kes baru Covid-19 berbanding negara jiran, Thailand disebabkan kes kluster perhimpunan tabligh Sri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negara lewat selama 9 hari untuk membendung penularan wabak itu daripada kumpulan berkenaan.

Jelasnya, beliau mengetahui perkara itu pada hari ke-10 daripada rakan sejawatnya di Brunei, di mana ketika itu jangkitan sudah mula menular ke kampung dan mukim.

“Kalau tidak ada perhimpunan Sri Petaling, mungkin kes kita kurang dari Thailand.

“Itu jangkaan kita, sebab kita lihat 30% hingga 40% jangkitan (kes keseluruhan) ada kaitan dengan perhimpunan Sri Petaling,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas unjuran Malaysia untuk mencapai angka 1 digit kes baru Covid-19 selepas Thailand mengalami trend tersebut selama 2 dua hari berturut-turut.

Beliau berkata sebanyak 33,086 individu sudah disaring dengan 32,122 sampel diambil daripada kluster tersebut.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 2,155 kes positif dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5,851 kes.

Bagaimanapun, katanya, meskipun negara mempunyai kluster perhimpunan tabligh namun kementerian berjaya mengekang penularan jangkitan tersebut.

Jelasnya, negara juga mempunyai unjuran yang menjangkakan trend 1 digit kes baru jangkitan Covid-19 boleh dicapai menjelang pertengahan Mei ini.

“Tapi setakat ini, kita berjaya capai 2 angka dalam tempoh 2 minggu berturut-turut,” katanya.

Atas sebab itu, beliau menyeru rakyat untuk terus mengamalkan norma baru seperti kerap mencuci tangan dan menjaga jarak 1 meter dengan orang lain bagi memastikan kes kebolehjangkitan semakin berkurang.