MEF gesa Putrajaya benarkan syarikat kecil operasi semula secara berperingkat

MEF berkata, pelaksanaan PKP memberi kesan kepada lebih 650,000 majikan di seluruh negara kerana mereka tiada simpanan atau dana besar.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan membenarkan syarikat, terutamanya syarikat kecil untuk beroperasi semula secara berperingkat ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk menggerakkan semula ekonomi.

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, buat masa ini, keupayaan majikan menanggung gaji pekerja tanpa sebarang pendapatan amat mencabar kerana kebanyakan syarikat di Malaysia ialah syarikat kecil yang mempunyai kurang daripada 5 pekerja.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP memberi kesan kepada lebih 650,000 majikan di seluruh negara ketika ini kerana mereka tiada simpanan atau dana besar.

“Lebih elok syarikat-syarikat dibenarkan beroperasi semula…bukan 100%, tetapi secara peringkat demi peringkat. Misalnya 1/3 dulu, kalau ia berjaya, ia boleh ditingkatkan kepada 50% dan seterusnya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama TV di saluran Astro 502.

Beliau juga berharap kerajaan tidak mengenakan prosedur menyukarkan syarikat memohon untuk beroperasi ketika PKP kerana ia akan menimbulkan masalah birokrasi, sekaligus melambatkan syarikat memulakan operasi.

“Keupayaan mereka (syarikat) untuk bertahan terhakis dan saya merasakan adalah penting kerajaan membenarkan syarikat beroperasi untuk memulakan ekonomi.

“Kita harus mengimbangi keselamatan dan kesihatan pekerja, apa yang mereka dapat dari segi ekonomi, jadi kalau mereka tak bekerja sekian lama, tentu majikan mendapati amat sukar untuk bayar gaji.”

Shamsuddin berkata, kebenaran beroperasi semula boleh diberikan kepada semua sektor swasta, kecuali melibatkan perhimpunan pekerja terlalu ramai.

Untuk permulaan, katanya, MEF meminta kerajaan membenarkan syarikat beroperasi semula dengan 30% pekerja serta mengamalkan prosedur operasi standard ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, MEF turut menggesa kerajaan menetapkan satu tempoh tetap bagi pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas dan dilanjutkan hingga 12 Mei ini bagi mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata, dasar kerajaan ketika ini yang mengumumkan lanjutan PKP setiap 2 minggu menyukarkan majikan membuat perancangan beroperasi semula.

“Jika dinyatakan sekaligus berapa lama PKP akan dilaksanakan, lebih senang untuk buat perancangan di sektor swasta…kita sebenarnya tidak membantah PKP.”