Menteri WP jamin semua di Selayang akan dibekal makanan termasuk warga asing

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa ketika temu bual Pengurusan COVID-19 dan PKP Wilayah Persekutuan bersama Bernama Radio hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa memberi jaminan semua penduduk di kawasan di Selayang bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan akan dibekalkan makanan termasuk warga asing.

Dalam wawancara eksklusif Bernama Radio, Annuar juga berkata wang pembayar cukai tidak akan digunakan untuk bekalan makanan warga asing.

“Satu tabung khusus digerakkan bagi mengumpul dana membeli makanan asas kepada warga asing di kawasan PKPD,” katanya mengenai “Pengurusan COVID-19 dan PKP Wilayah Persekutuan” hari ini.

Katanya, bancian terbaru di sekitar Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur mendapati 16,000 daripada 22,000 orang adalah warga asing, termasuk pelarian Rohingya yang memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Ketika bancian awal hanya ada lebih 10,000 warga asing namun setelah dibanci secara terperinci mendapati angka naik sehingga 16,000,” katanya.

Sementara itu, sumbangan untuk tabung khusus itu sudah mencecah lebih RM1 juta, katanya.

Orang ramai boleh menyumbang menerusi menerusi Pusat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMC) di Jalan Tun Razak.

“Mana-mana pihak yang mahu menyalurkan sebarang bentuk sumbangan bekalan makanan kepada rakyat tempatan di kawasan PKPD akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Kawalan ketat di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur berkuatkuasa 20 Apr hingga 3 Mei.

Pasar Borong Kuala Lumpur antara tumpuan utama untuk barangan mentah di ibu negara.