Penduduk di bawah PKPD dilarang terima barang melalui kawat duri, kata polis

Aktiviti menghulur barangan seperti makanan dan keperluan lain kepada penduduk di bawah PKPD melalui kawat duri berlaku kerana ia lebih mudah tanpa perlu melalui pemeriksaan polis.

KUALA LUMPUR: Penduduk di Selayang Baru yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilarang menghulur atau menerima barangan daripada pihak luar melalui kawat duri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe berkata meskipun barang yang dihulur tidak berbahaya, namun tindakan sedemikian mampu mengundang risiko jangkitan Covid-19.

“Tidak boleh mereka hulur melalui kawat duri sendiri, mesti melalui polis untuk kami periksa apa yang ingin diberi orang luar kepada penduduk di dalam PKPD.

“Takut bagi benda yang tidak sepatutnya, maka kami perlu membuat pemeriksaaan,” katanya kepada Bernama semalam.

Tinjauan Bernama mendapati aktiviti menghulur barangan seperti makanan dan keperluan lain kepada penduduk di bawah PKPD melalui kawat duri berlaku kerana ia lebih mudah tanpa perlu melalui pemeriksaan polis.

Seorang warga Myanmar yang enggan dikenali berkata, dia sedang menunggu saudaranya menghulurkan sedikit barang keperluan berhampiran kawat duri itu kerana stok barang dapur berkurangan.

“Saya tidak mahu menggunakan pintu masuk yang dikawal polis apabila menerima barangan, ia lebih mudah menghulurkan barangan melalui kawat duri kerana lebih cepat tanpa perlu melalui pemeriksaan polis.”

Arifai berkata, penduduk Selayang Baru di bawah PKPD dibenarkan keluar jika mempunyai kes kecemasan seperti sakit.

Pemerhatian Bernama juga mendapati semua jalan di kawasan Selayang Baru yang biasanya menjadi tumpuan masyarakat, lengang selepas PKPD dikuatkuasakan Sabtu lalu susulan peningkatan kes Covid-19 di lokasi terbabit.

Sehingga 9.30 malam tadi, petugas kesihatan masih menjalankan proses saringan kesihatan dari rumah ke rumah di Jalan Besar, Jalan 8 dan beberapa jalan lain di Selayang Baru.

Penduduk juga dilihat memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan tanpa rasa takut, malah mampu memberikan senyuman biarpun kawasan kediaman mereka di bawah PKPD.

Seluruh kawasan dipagar dengan kawat duri setinggi 1m, termasuk di beberapa lokasi dipercayai menjadi “lorong tikus” dan penghadang jalan diletakkan di semua laluan utama.

Kerajaan memutuskan meletakkan kawasan Selayang Baru di bawah PKPD mulai Sabtu lepas hingga 3 Mei ini.