Perjalanan pulang intra-zon lebih 4,000 pelajar mula esok

Pelajar UKM membuat persiapan pulang ke kampung halaman semalam, selepas terkandas di universiti sejak 18 Mac.

PUTRAJAYA: Perjalanan pulang intra-zon, atau dalam zon, pelajar universiti yang terkandas di kampus pusat pengajian akan bermula esok, melibatkan 4,878 pelajar.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara itu pada sidang media hari ini selepas mengumumkan 790 pelajar di zon tengah Semenanjung selamat tiba di destinasi masing-masing di zon utara, dalam penghantaran pulang yang bermula semalam.

Mengenai perjalanan pulang intra-zon, Ismail berkata kira-kira seramai 692 pelajar di zon utara akan pulang ke rumah masing-masing di zon sama esok, serta 1,165 pelajar di zon timur.

Sementara itu, lebih 4,000 pelajar di Sabah, Sarawak, dan Labuan akan dibenarkan pulang esok.

Malam ini, seramai 88 pelajar di zon utara akan memulakan perjalanan pulang ke zon tengah.

Para pelajar terbabit terkandas di pusat pengajian masing-masing sejak perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa 18 Mac lepas. Kerajaan mengatur penghantaran pulang secara berperingkat bermula semalam bagi mengawal penularan wabak Covid-19.