Petisyen anti-Rohingya di laman web diturunkan

PETALING JAYA: Beberapa petisyen dalam talian terhadap komuniti pelarian Rohingya di laman Change.org didapati sudah diturunkan, dipercayai kerana menyalahi dasar terhadap ucapan kebencian.

Garis panduan laman antarabangsa itu menyatakan petisyen yang menyokong ucapan kebencian terhadap mana-mana orang tidak dibenarkan, sama ada berkaitan asal usul etnik, kerakyataan, negara asal, atau bangsa, antara lain.

Terdapat sekurang-kurangnya 5 petisyen ditemui di laman itu sebelum ini, antaranya “No more Rohingya in Malaysia, government please send them home” dan “Say NO to Rohingya”.

Mendapat lebih 250,000 tandangan setakat semalam, petisyen-petisyen itu menggesa Putrajaya mengusir komuniti Rohingya dari Malaysia dan jangan pedulikan seruan badan-badan bukan kerajaan yang menyeru kerajaan menjaga kebajikan pelarian semasa pandemik Covid-19.

Satu lagi petisyen, yang mendapat lebih 110,000 tandatangan, menyeru Putrajaya menolak tuntutan kerakyatan yang didakwa dibuat oleh sebuah NGO Rohingya.

Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia menafikan ia membuat tuntutan seperti yang didakwa berita palsu.

Pengarah North-South Initiative, Adrian Pereira bimbang ramai menyokong petisyen itu tanpa mahu menentusahkan dakwaan-dakwaan yang dibuat sebelum menandatanganinya.

“Kebencian membuta tuli menyebabkan mereka mudah terpedaya. Ada yang salah faham tentang pelarian.

“Ditambah pula dengan perintah kawalan pergerakan, terdapat satu persepsi salah kita tak cukup sumber dan mesti bantu orang kita dulu,” katanya kepada FMT.

Pereira berkata terdapat kemungkinan sebahagian penandatangan itu “tentera siber” yang mengikut pemimpin politik tertentu yang pernah membantah bantuan kepada pelarian Rohingya.

Beliau berterima kasih kepada NGO Islam dan pemimpin agama yang membantah kebencian terhadap komuniti itu, mengatakan mereka daya kemanusiaan yang diperlukan ketika ini.

Pereira bagaimanapun tidak terlalu mengharapkan ahli politik mengambil pendirian tegas dalam itu ini, mengatakan ahli politik berbelah bahagi antara menegakkan kebenaran dan memenuhi tuntutan populis.

“Kita nampak bagaimana pendapat-pendapat yang populis menolak idea memberikan dokumen sementara kepada pendatang tidak sah di Sabah walaupun ia idea yang baik bagi memastikan perlindungan dan pengawasan,” katanya.