Putrajaya kurangkan kadar potongan hutang Terengganu kepada 5%

Pengurangan kadar pemotongan hutang ini bagi membolehkan Terengganu memberi tumpuan khusus kepada keperluan rakyatnya semasa krisis Covid-19. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan persekutuan bersetuju mengurangkan kadar pemotongan hutang kerajaan Terengganu daripada bayaran royalti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) tahun ini, daripada 25% kepada 5%.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan ia bagi membolehkan kerajaan Terengganu memberi tumpuan khusus kepada keperluan rakyat dalam mendepani penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar di Facebook berkata keputusan itu berita gembira buat rakyatnya.

Katanya, keputusan itu dicapai dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Zafrul, yang turut disertai Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob semalam.

Samsuri berkata pertemuan itu turut membincangkan agenda berkaitan urusan kewangan kerajaan negeri dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Media diberitahu mengenai permohonan kerajaan negeri agar Putrajaya mempertimbangkan semula kadar pemotongan itu pada 16 Apr lalu.

Bayaran WTP dilakukan 2 kali iaitu pada awal dan akhir tahun.