Rakyat Sabah dakwa hanya penyokong Warisan dapat bantuan makanan

Bungkusan beras yang tiba di pantai barat Sabah untuk diagihkan kepada penduduk kampung. Sebanyak RM20 juta diperuntukkan kerajaan negeri untuk barang keperluan asas.

KOTA KINABALU: Pengagihan bantuan di Sabah terus dipalit dakwaan pilih kasih politik, dengan beberapa pihak mendakwa wujud “little Napoleon” daripada parti pemerintah Warisan yang menyekat barang keperluan asas untuk penduduk kampung.

Mereka turut mendakwa pegawai tempatan mendiskriminasi individu yang tidak menyokong Warisan.

Di Papar, pekerja rencam Phillip Michael mendakwa beliau tidak menerima bantuan negeri.

“Kita akan lihat sama ada mereka masih boleh menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya kepada FMT sambil menambah keluarganya baru-baru ini mendapat bantuan makanan daripada seorang bekas wakil rakyat Sabah.

Seorang pegawai bagaimanapun menafikan dakwaan diskriminasi itu.

Anthony Suamin, seorang daripada 3,000 pemimpin akar umbi yang dilantik negeri untuk mengagihkan bantuan, berkata ramai keliru antara bantuan persekutuan dan negeri.

Katanya, senarai penerima bantuannya mungkin tidak dikemas kini menyebabkan pihaknya terlepas pandang beberapa keluarga yang tinggal di rumah sama.

“Saya tidak tahu senarai kami tidak dikemas kini kerana ia kira-kira 5 hingga 6 tahun lalu.”

Suamin berkata, penduduk Sabah menerima bantuan daripada 3 pihak: ahli Parlimen tempatan, kerajaan negeri dan penderma peribadi.

“Sesetengah bantuan bertindih. Tidak ada kawalan. Kami ingin mengumpul semua sumber ini menjadi satu supaya semua akan dapat bantuan.”

Di Kota Marudu, seorang penduduk mendakwa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) hanya mengagihkan bantuan kepada mereka yang menyokong Warisan.

Tetapi, katanya, pemimpin Warisan dan Ketua Menteri, Shafie Apdal tidak patut dipersalahkan sepenuhnya disebabkan pemimpin akar umbi yang bertindak seperti “little Napoleon.”

“Saya tahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan menyiasat mereka tidak lama lagi.”

Difahamkan, kerajaan Sabah memperuntukkan RM100,000 untuk bantuan diagihkan ke setiap daerah bagi membantu rakyat menghadapi impak perintah kawalan pergerakan untuk penularan virus Covid-19.

Kira-kira RM20 juta sudah diperuntukkan, terutamanya untuk membekalkan barang keperluan asas seperti beras dan tepung ke semua kampung di Sabah.

Kerajaan negeri turut meluluskan geran kepada 15 ahli Parlimen Sabah daripada parti pemerintah.