Sektor dibenar beroperasi boleh tingkat kapasiti esok

Sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semasa PKP1, 2 dan 3 dibenarkan tingkat kapasiti beroperasi sepenuhnya dan tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) tahap 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing bermula esok, 29 April.

Mohamed Azmin Ali

Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata, syarikat dalam sektor yang dibenarkan ini wajib mematuhi syarat-syarat tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi sektor masing-masing.

“Kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta merta dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin berkata syarikat yang diluluskan untuk beroperasi sebelum ini tidak lagi perlu memohon kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (Miti) untuk mendapatkan kebenaran tersebut.

Menurutnya, inisiatif ini akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik serta luar negara, dan akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya perusahaan kecil dan sederhana.

“Sementara kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan ‘kebiasaan baru’ dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan,” katanya.