UK akan bayar waris anggota kesihatan terkorban Covid-19 £60,000

Seorang lelaki memakai topeng dan sarung tangan melalui lukisan mural oleh pelukis jalanan profesional, David Speed sebagai tanda penghargaan kepada petugas NHS di timur London. (Gambar AP)

LONDON: Keluarga pekerja kesihatan dan perkhidmatan penjagaan Britain yang terkorban akibat Covid-19 akan dibayar £60,000 (RM325,458) sebagai sebahagian skim jaminan kehidupan baru, kata Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock pada Isnin.

Angka korban di Britain antara tertinggi di dunia – 21,092 kematian dan ribuan lagi yang belum dikira di rumah penjagaan. Ia termasuk 98 pekerja kesihatan dan perkhidmatan penjagaan yang terkorban selepas disahkan positif Covid-19, kata Hancock.

“Kerajaan sedang mewujudkan skim jaminan hidup untuk anggota barisan depan NHS (Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan) dan penjagaan sosial.

“Keluarga kakitangan yang terkorban akibat koronavirus ketika menjalankan tugas barisan depan akan menerima bayaran £60,000.”

Skim itu menyasarkan waris individu yang meninggal dunia akibat koronavirus ketika melakukan kerja asas dan menyelamatkan pesakit, mereka yang menyediakan penjagaan langsung dan juga tukang cuci serta porter.

Ia hanya tertakluk kepada pekerja di England, tetapi pentadbiran di Scotland, Ireland Utara dan Wales akan menerima pembiayaan kerajaan pusat untuk program sama.

Kerajaan mengambil ribuan anggota perubatan yang bersara baru-baru ini dan pelajar tahun akhir sebagai petugas barisan depan untuk menangani lonjakan permintaan bagi perkhidmatan kesihatan ketika penularan Covid-19.