
KUALA KUBU BHARU: Polis menahan 238 warga tempatan, termasuk bayi dalam serbuan ke atas sebuah penempatan haram yang dibina dengan khemah plastik di Kampung Ulu Rening, Batang Kali, di sini.
Dalam operasi 5 petang semalam, 76 lelaki dewasa, 77 wanita serta 85 kanak-kanak dan bayi, yang berada di kawasan hutan baru diteroka itu ditahan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata berdasarkan soal siasat, penduduk terbabit mendakwa mereka ialah ahli Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara.
“Kita masih siasat persatuan ini dan apa yang kita tahu, mereka ini makan, mandi dan tinggal di kawasan ini.
“Polis masih menyiasat sejak bila kesemua mereka ini berada di kawasan itu,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu (KKB) di sini, malam tadi.
Mengenai dakwaan mereka berada di kawasan itu sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, beliau berkata, polis sedang menyiasat perkara itu.
“Apa yang pasti mereka telah melanggar PKP dan mereka ini datang dari pelbagai negeri, ada Kuala Lumpur, Kelantan dan lain-lain.”
Fadzil berkata, pemeriksaan kesihatan akan dijalankan ke atas mereka yang kini ditempatkan di Dewan Serbaguna KKB.
“Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Daerah KKB turut membantu proses pemeriksaan kesihatan serta urusan kebajikan mereka.”