690 kes baru, jumlah positif Covid-19 di Singapura lebih 15,000

Kementerian Kesihatan Singapura berkata, daripada 528 kes baru semalam, 83% dikaitkan dengan kluster yang diketahui, manakala bakinya masih menunggu hasil pengesanan kontak. (Gambar AP)

SINGAPURA: Singapura hari ini mengesahkan tambahan 690 kes baru jangkitan Covid-19, termasuk 6 melibatkan kes dalam komuniti, manakala jumlah terbesar dari penghuni asrama pekerja.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini dalam satu kenyataan memaklumkan ia masih mengkaji butiran kes berkenaan dan sebarang maklumat terkini akan diumum kemudian hari ini.

Angka terbaru itu menjadikan jumlah bagi republik ini 15,641 kes.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat Selasa, MOH menyatakan jumlah kes baru dalam komuniti berkurangan daripada purata 28 kes sehari pada minggu sebelum kepada purata 17 kes sehari pada minggu lepas.

MOH memaklumkan bahawa daripada 528 kes baru semalam, 83% dikaitkan dengan kluster yang diketahui, manakala yang lain masih menunggu hasil pengesanan kontak.

Pada minggu lepas (21-27 April), kementerian memaklumkan menemui hubung kait bagi 1,203 kes yang tidak dikait sebelum ini.

Kementerian juga menyatakan jumlah kes tidak dikait dalam komuniti juga berkurangan daripada purata 18 kes sehari pada minggu sebelum ini kepada purata 10 kes sehari pada minggu lepas.

Daripada jumlah pada Selasa iaitu 14,951 kes, Singapura mengklasifikasi 1,181 sebagai kes komuniti, 571 kes import dan 505 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak menghuni asrama.

Sementara itu, penghuni asrama membentuk kira-kira 85% atau 12,694 kes.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan kes di asrama mempunyai simptom sakit ringan dan tidak seorang pun diletakkan dalam unit rawatan rapi.

Singapura mengenal pasti 4 lagi kluster baru pada Selasa, iaitu 33, Sungei Kadut Loop; 23H, Sungei Kadut Street; 10, Tagore Drive; dan 51H, Tuas South Ave 1.

Kluster terbesar di republik ini ialah S11 Dormitory @ Punggol yang setakad ini mencatatkan 2,302 kes yang disahkan.

Setakad ini, 1,128 pesakit pulih sepenuhnya, manakala 21 dalam keadaan kritikal dengan menerima rawatan di unit rawatan rapi dan 14 meninggal dunia.