Ahli ekonomi gesa kerajaan longgarkan PKP

Kerajaan melaksanakan PKP mulai 18 Mac lalu dan kini ia memasuki fasa ke-4 yang dilanjutkan sehingga 12 Mei ini dalam usaha membendung penularan Covid-19.

PETALING JAYA: Beberapa ahli ekonomi menggesa kerajaan melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk membolehkan perniagaan beroperasi semula dan memulihkan ekonomi negara.

Kameel Mydin Meera

Ahli ekonomi Kameel Mydin Meera berkata, PKP perlu ditamatkan di zon hijau dan kuning, tetapi mengekalkan langkah keselamatan seperti penggunaan topeng.

Zon hijau ialah daerah yang tiada kes positif Covid-19, zon merah ialah daerah merekodkan lebih 40 kes aktif, manakala zon kuning mempunyai 1 hingga 40 kes.

“Jika tidak, lebih banyak perniagaan akan gagal dan kadar pengangguran akan naik secara drastik,” kata Kameel yang juga bekas dekan Institut Perbankan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada FMT.

Carmelo Ferlito

Carmelo Ferlito daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) turut menggesa sekatan dilonggarkan untuk zon hijau dan kuning serta penugasan semula zon merah dengan kadar segera.

Katanya, PKP yang berpanjangan akan menimbulkan risiko pergolakan sosial dan pengangguran besar-besaran.

Beliau mendapati Itali, sebuah daripada negara yang paling teruk terjejas akibat Covid-19, akan menyambung semula semua aktiviti ekonomi pada Jun nanti.

Sekurang-kurangnya 2 juta orang di Itali memohon bantuan pengangguran. Keluaran dalam negara kasar negara itu dijangka merosot sehingga 5% untuk separuh pertama tahun ini.

Kameel berkata, banyak kontrak antara perniagaan, pemberi pinjaman dan peminjam, penyewa dan tuan tanah berisiko dimungkiri jika PKP dilanjutkan.

“Beberapa perniagaan mungkin tumbang secara kekal. Gangguan dalam rantaian bekalan global mampu mencetuskan krisis makanan global juga dan kita perlu mengelakkannya.”

Lee Heng Guie

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi, Lee Heng Guie berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk melonggarkan PKP secara berperingkat.

“Ia demi kepentingan kerajaan untuk memastikan ekonomi terus berjalan, membantu survival dan kemampanan perniagaan.

“PKP memberi kesan teruk kepada banyak perniagaan dari segi defisit aliran tunai, kehilangan pendapatan dan kehilangan atau pengurangan tempahan serta pelanggan.”

Katanya, terdapat kebimbangan terhadap risiko litigasi akibat syarikat tidak mampu memenuhi kewajipan kontrak.

Beliau menggesa kerajaan merancang strategi keluar daripada PKP dan menerangkan rancangan itu kepada rakyat supaya perniagaan boleh menyiapkan prosedur operasi standard mereka.

Bagaimanapun, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengingatkan amaran yang diberikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia supaya tidak menarik balik peraturan sekatan secara tergesa-gesa.

Dr N Ganabaskaran

Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran meminta kerajaan melakukan penilaian terperinci sebelum membuat sebarang keputusan untuk membatalkan PKP.

“Kita perlu berdepan perkara ini dengan berhati-hati,” katanya kepada FMT sambil menambah masih ada kes baru Covid-19 yang memerlukan pengesanan kontak.

Bekas ketua pengarah kesihatan, Dr Ismail Merican berkata, PKP tidak patut dilanjutkan selepas 12 Mei ini.

Dr Ismail Merican

“Apa yang kita perlu sekarang ialah strategi keluar untuk ekonomi, logik akal dan disiplin,” katanya kepada FMT.

Tetapi, katanya, orang ramai perlu terus berwaspada seolah-olah Covid-19 masih menjadi ancaman.

“Jangan berkumpul. Kekalkan jarak selamat. Perniagaan perlu memastikan langkah ini dilaksanakan di premis mereka. ”

Beliau berkata, langkah berjaga-jaga juga perlu diamalkan di zon hijau.

“Saya rasa rakyat faham apa itu normal baru dan mereka hanya perlu menunjukkan mereka dapat mematuhi normal baru ini.

“Masih ada perkara yang boleh ditunda sehingga satu tempoh yang belum ditetapkan, seperti perhimpunan besar-besaran untuk perkahwinan.”

Tags:

caption

insert pix:
Kameel Mydin Meera
Carmelo Ferlito
Lee Heng Guie
Dr N Ganabaskaran
Dr Ismail Merican