Benarkan Rohingya kerja di sektor perladangan, kata timbalan menteri

Dianggarkan 15,000 etnik Rohingya tinggal di kawasan sekitar pasar Selayang.

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara mencadangkan supaya pelarian Rohingya dibenarkan bekerja dalam sektor perladangan, langkah yang menurutnya akan memberi manfaat kepada mereka dan juga rakyat tempatan.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata syarikat perladangan ketika ini mengambil pekerja asing dari Indonesia dan Bangladesh.

Beliau berkata mengambil pekerja Rohingya sebaliknya hanya akan membabitkan kos pengangkutan ke ladang.

Jika mereka ditempatkan di ladang, tambahnya, penduduk tempatan boleh mengambil alih pekerjaan mereka di pasar Selayang dan pasar malam yang berdekatan.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata terdapat 175,000 pelarian di Malaysia, separuh daripada mereka adalah Rohingya.

Dianggarkan 15,000 orang tinggal di kawasan pasar Selayang sahaja.

Santhara berkata etnik Rohingya boleh bekerja di ladang yang menawarkan perumahan percuma beserta air dan elektrik dengan harga yang murah sementara menunggu PBB menempatkan mereka di negara lain.

Beliau mencadangkan agar projek percubaan itu dijalankan dengan menghantar 15,000 etnik Rohingya di Selayang untuk bekerja di ladang.

Katanya, langkah ini juga dapat membantu mengatasi kekurangan pekerja dalam sektor berkenaan.

Sementara kanak-kanak Rohingya boleh dihantar ke sekolah kerajaan, tambahnya.

“Hampir tidak ada kos tambahan dengan melibatkan mereka bekerja dalam sektor perladangan.

“Kerajaan juga akan dapat menguruskan mereka dengan lebih baik.”

Di sana, katanya, etnik Rohingya boleh memperoleh antara RM900 dan RM1,800, dengan gaji yang lebih tinggi ketika hasil tuaian baik.

“Dengan pandemik Covid-19 dan negara menjadi lebih nasionalistik, terdapat keperluan untuk melihat etnik Rohingya yang berada di negara ini,” katanya, sambil menambahkan Malaysia boleh menjadi negara contoh dalam meningkatkan status sosial masyarakat.