Doktor ditahan terbabit pecah rumah, curi di Pulau Pinang

Polis berkata, suspek itu masuk ke rumah mangsa yang tidak berkunci pada awal pagi dan mencuri barang berharga di ruang tamu, sebelum menjualnya pada harga lebih murah.

GEORGE TOWN: Seorang doktor ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 22 kes pecah rumah dan curi di kawasan kondominium didiaminya sejak 6 tahun lalu yang membabitkan kerugian hampir RM500,000 susulan serbuan di Kondominium Gurney Park, Persiaran Gurney, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pada 6 petang hasil risikan dan intipan polis, susulan beberapa kes pecah rumah di kawasan kondomonium itu baru-baru ini.

“Polis merampas pelbagai barangan elektrik seperti 6 unit televisyen, 5 unit pemain video dan 27 komputer riba serta 68 telefon bimbit, kad pengenalan, pasport antarabangsa, beg dan 35 rangkai kunci. Semua hasil rampasan tersebut bernilai RM160,000,” katanya semalam.

Beliau berkata, modus operandi pengamal perubatan itu ialah masuk ke rumah mangsa yang tidak berkunci pada awal pagi dan mencuri barang berharga di ruang tamu, sebelum menjualnya kepada pembeli pada harga lebih murah daripada pasaran.

Katanya, doktor yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau itu kini direman bagi membantu siasatan dan polis percaya lelaki tersebut menjalankan kegiatan itu bersendirian.

Dalam perkembangan lain, Soffian berkata, polis menahan 2 lelaki dan seorang doktor pelatih wanita kerana terlibat dalam 13 kes pecah rumah dan curi di sebuah kondomonium mewah di Tanjung Tokong sejak April lalu membabitkan kerugian RM296,350.

“Polis menahan lelaki pertama berusia 34 tahun di kondomonium tersebut pada 8 malam Khamis lalu, ketika memecah masuk sebuah rumah di situ dan polis merampas pelbagai barangan daripada suspek, antaranya beg, dompet, kasut berjenama serta kamera digital.”

Susulan itu, katanya, polis menahan sepasang suami isteri berusia 24 tahun di depan lif pada 11.20 pagi Sabtu lalu yang dipercayai cuba melarikan diri, namun siasatan ke atas mereka membawa kepada penemuan stor saluran syarikat telekomunikasi yang dijadikan tempat menyimpan hasil pecah rumah.

Katanya, polis turut merampas pelbagai barang bernilai RM80,000 termasuk televisyen, bagasi, komputer, peralatan elektrik dan barang perhiasan.