Inspektor polis dalam kes rogol dituduh perdagang 2 wanita Mongolia

Hazrul Hizham Ghazali dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini.

KLANG: Seorang inspektor polis yang didakwa merogol 2 wanita Mongolia, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memperdagangkan manusia untuk tujuan seks.

Hazrul Hizham Ghazali dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, didakwa di bawah Seksyen 13(f) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) kerana menyalahgunakan kuasanya untuk mengeksploitasi 2 wanita berusia 20 dan 36 tahun itu.

Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 10 dan 11 April lalu.

Hazrul yang diwakili peguam Shah Rezal Abdul Manan, berdepan hukuman penjara 3 hingga 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Tasnim Abu Bakar membenarkan Hazrul diikat jamin RM20,000 dan menetapkan 17 Jun untuk sebutan semula kes.

Hazrul sebelum ini ditahan atas dakwaan merogol 2 wanita Mongolia itu.

Pihak berkuasa turut menyiasat kes itu atas dakwaan pemerdagangan manusia.

Dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan digantung tugas.