Keluar rumah untuk hilangkan serangan panik, doktor didenda RM800

Seorang doktor melanggar PKP bagi menghilangkan serangan panik kerana lama duduk di rumah.

KUALA LUMPUR: Seorang doktor yang keluar rumah atas alasan menghilangkan serangan panik, didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret, hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu ke atas Dr Kanwaljit Singh Gill Chatranjan Singh, 41, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda.

Lelaki itu yang merupakan doktor di sebuah klinik didakwa bergerak dari 11A, Jalan Vethavanam, Batu 3 3/4 Off Jalan Ipoh ke suatu tempat lain di Jalan Horley, Bukit Bintang, yang merupakan kawasan jangkitan, pada pukul 9.45 malam, 20 April lepas.

Kesalahan itu didakwa di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1) Peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Peguam Ahmad Nabil Abd Rani daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnnya dikenakan hukuman ringan kerana dia kini tidak bekerja dalam tempoh PKP, selain perlu menanggung bapa yang mempunyai penyakit jantung manakala ibunya mengalami kencing manis.

“Tertuduh mengalami serangan panik kerana lama duduk di rumah berikutan tempoh PKP, jadi tiada jalan lain dia terpaksa keluar rumah,” kata peguam itu.