Kematian Covid-19 di AS atasi angka korban Perang Vietnam

Anggota perubatan kecemasan menolak seorang pesakit Covid-19 memasuki Pusat Kesihatan Cobble di New York 2 minggu lalu. (Gambar AP)

WASHINGTON: Jumlah kematian Covid-19 di Amerika Syarikat pada Selasa mengatasi 58,220 anggota tentera AS yang terkorban dalam Perang Vietnam ketika kes positif jangkitan virus itu mencecah sejuta orang, menurut statistik Reuters.

Angka sebenar jangkitan virus itu dianggap lebih tinggi apabila pegawai kesihatan awam berkata, kekurangan bahan dan pekerja terlatih mengehadkan kapasiti ujian.

Kira-kira 30% kes dicatatkan di New York, pusat penularan Covid-19 di AS, disusuli New Jersey, Massachusetts, California dan Pennsylvania.

Sebanyak 58,233 kematian dicatatkan di AS setakat Selasa, meningkat lebih 2,000 orang berbanding sehari sebelumnya. AS melaporkan kematian pertama pada 29 Feb lalu.

Penularan itu mungkin meragut lebih 74,000 nyawa di AS menjelang 4 Ogos nanti, berbanding ramalan 67,600 kematian yang dibuat pada 22 April lalu, menurut model ramalan Universiti Washington yang sering dipetik pegawai White House.

Di seluruh dunia, kes positif Covid-19 kini berjumlah 3 juta sejak penularan virus itu dikesan di China akhir tahun lalu.

Kes Covid-19 di AS dengan populasi ke-3 terbesar di dunia, 5 kali lebih banyak berbanding negara paling teruk terjejas lain seperti Itali, Sepanyol dan Perancis.

Daripada 20 negara paling teruk terjejas, AS berada di tangga ke-5 berdasarkan kes per kapita, menurut pengiraan Reuters.

Kira-kira 30 kes positif dikesan dalam setiap 10,000 orang di AS. Sepanyol mendahului dengan lebih 48 kes bagi setiap 10,000 orang, disusuli Belgium, Switzerland dan Itali.

Selain mengatasi angka korban Perang Vietnam, jumlah kematian Covid-19 turut melebihi selesema bermusim dalam beberapa tahun ini, kecuali pada musim 2017-1018, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC).

Jumlah kematian selesema dalam lingkungan 12,000 kes pada musim 2011-2012 sehingga 61,000 kes pada 2017-2018.

Kematian koronavirus di AS kurang daripada kira-kira 100,000 rakyatnya yang terkorban akibat selesema bermusim pada 1967, menurut CDC.

Ia juga jauh lebih rendah daripada Selesema Sepanyol yang bermula pada 1918 dan mengorbankan 675,000 warga AS.

Perintah duduk di rumah bagi membendung penularan Covid-19 menjejaskan ekonomi dengan jumlah rakyat AS yang memohon bantuan pengangguran dalam 5 minggu ini meningkat kepada 26.5 juta orang.

Kira-kira 12 negeri mula melonggarkan sekatan pergerakan, walaupun pakar kesihatan memberi amaran tindakan pramatang boleh menyebabkan lonjakan kes baru.

Tinjauan Reuters/Ipsos bulan ini mendapati majoriti rakyat AS bipartisan mahu mengekalkan perintah berkurung bagi melindungi diri daripada jangkitan koronavirus, walaupun ekonomi terjejas.