Kerajaan perlu seimbang undang-undang, hak asasi manusia, kata Mat Sabu selepas isu Rohingya

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempunyai keseimbangan antara kemanusiaan, hak asasi manusia dan perundangan, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu selepas pihak berkuasa Malaysia menolak bot membawa pelarian Rohingya daripada mendarat 2 minggu lalu.

“Kerajaan perlu lebih tegas melaksanakan seruan di peringkat antarabangsa seperti Asean dan PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) serta bekerjasama dengan NGO yang terlibat dalam usaha memerangi jenayah pemerdagangan manusia ini.

“Namun pada masa yang sama, soal hak asasi manusia perlu dipertahankan,” tulisnya dalam catatan Facebook malam tadi.

Katanya, negara Eropah menerima pelarian Islam sejak dulu dan memberikan hak pencari suaka kepada mereka.

Beliau memberi contoh Jerman menerima pelarian Islam dengan sebahagian daripada mereka diberikan taraf kerakyatan, khasnya selepas Perang Dunia II.

“Sebab itu kita mengecam Eropah dalam isu-isu tertentu seperti sokongan mereka terhadap kerajaan yang tidak menghormati demokrasi dan hak asasi, tapi pada masa yang sama, terdapat kebaikan yang dilaksanakan oleh mereka di negara mereka.

“Ramai pemimpin gerakan Islam di sebahagian negara Timur Tengah yang ditekan dan dipenjara serta dihukum bunuh.

“Sebahagian daripada mereka ini diselamatkan dan diberi perlindungan oleh negara-negara Eropah.”

Bekas menteri pertahanan berkata, umat Islam perlu sedar adakalanya kerja kebajikan yang diseru agama dilaksanakan orang bukan Islam dan negara umat Islam sebaliknya menjadi pengeksport pelarian.

Dalam isu Rohingya, katanya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diharap memainkan peranan sewajarnya bagi membuktikan Islam ialah agama penyelamat, menegakkan keadilan dan hak asasi manusia.

“Begitu juga di dalam negara kita, usaha memerangi pemerdagangan manusia mesti digiatkan tanpa mengira mereka yang terlibat berada di pihak kerajaan ataupun pembangkang.

“Walau apapun keadaan, membiarkan orang mati kelaparan adalah perkara amat menyedihkan dan menggambarkan nipisnya nilai perikemanusiaan.”

Tentera Laut Diraja Malaysia menyekat sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara pada 16 April lalu.

Sehari sebelum itu, 60 etnik Rohingya dilaporkan mati dalam bot yang sarat dengan ratusan pelarian Rohingya selepas pihak berkuasa Thailand dan Malaysia menghalang kemasukan mereka.

Keganasan etnik dan agama di Myanmar terhadap Rohingya Islam, yang dianggap minoriti paling tertindas di dunia oleh PBB, menyebabkan ratusan ribu melarikan diri ke negara jiran.

Dianggarkan 200,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia, tetapi mereka dinafikan pekerjaan sah kerana kerajaan tidak mengiktiraf mereka sebagai pelarian.