Kit ujian Covid-19 dari Korea Selatan tiba Jumaat, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah dan Sarawak diberi keutamaan dalam penggunaan kit ujian pantas Covid-19 kerana masalah perhubungan di kawasan pedalaman.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menerima kit ujian pantas atau “rapid test kit” Covid-19 yang diimport dari Korea Selatan Jumaat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kumpulan pertama membabitkan 50,000 kit ujian dan penghantaran kedua sebanyak 100,000 unit pada Sabtu.

Katanya, keutamaan KKM bagi penggunaan kit ujian tersebut ialah untuk Sarawak dan Sabah.

“Jumaat ini kita akan terima kumpulan pertama kit ujian lebih kurang 50,000 (unit) dan kita letak keutamaan kepada Sabah dan Sarawak, memandangkan di sana ada masalah pengangkutan melibatkan kawasan pedalaman.

“Jadi bila kita guna kit ujian ini, ia boleh dibuat di klinik daerah dan keputusannya dapat diketahui cepat, tidak payah hantar sampel ke hospital,” katanya pada sidang media harian beliau di Putrajaya hari ini.

Katanya, kit ujian itu juga akan digunakan untuk mereka yang pulang dari luar negara sebaik sahaja tiba di lapangan terbang bagi mendapatkan keputusan dengan cepat.

Mengulas beberapa negeri yang tidak mencatatkan kes aktif dan kini dikategorikan sebagai ke zon hijau , Noor Hisham berkata, KKM akan membuat pertimbangan terlebih dahulu sebelum mengumumkan kawasan terbabit sebagai bebas Covid-19.

“Kita kena memenuhi 6 kriteria yang ditetapkan sebelum ini sebelum kita boleh mengumumkan kawasan itu bebas Covid-19.

“Kita juga kena lihat prosedur operasi standard (SOP) tertentu. Kita sedang melihat SOP tersebut dan setakat ini belum ada keputusan lagi,” katanya.