KKM: HKL dibebas sementara rawat pesakit Covid-19, benar petugas berehat

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan pengurangan kes Covid-19, jadual tugasan petugas kesihatan akan disemak semula bagi memberi peluang mereka berehat.

PUTRAJAYA: Pesakit positif Covid-19 yang bergejala ringan dan tidak bergejala di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan dipindahkan ke hospital sementara yang terletak di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 di tahap 4 dan 5 pula akan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

Katanya, KKM akan membebaskan HKL daripada merawat pesakit Covid-19 buat sementara waktu bagi membolehkan hospital itu memberi fokus kepada rawatan lain.

“Kita akan bebaskan HKL untuk semantara (merawat pesakit Covid-19) dan mereka boleh fokus kepada aktiviti rawatan lain.

“Petugas kesihatan yang merawat pesakit Covid-19 akan turut dipindahkan,” katanya pada sidang media harian beliau hari ini,

Noor Hisham juga berkata, kakitangan KKM yang merawat pesakit Covid-19 juga akan disemak semula jadual tugasan bagi membolehkan mereka berehat.

“Kes semakin kurang, di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga kurang, pesakit pelukan bantuan pernafasan berkurang, mungkin ada masa kakitangan berehat dan kita lihat semula jadual (tugasan),” katanya.