Kota Beijing mungkin longgar peraturan kuarantin seawal Khamis

Seorang lelaki melihat keluar dari tingkap kereta api sebaik tiba di Beijing semalam. (Gambar AP)

BEIJING: Beijing merancang untuk melonggarkan peraturan kuarantin untuk pelancong domestik dari kawasan berisiko rendah di China seawal Khamis, menurut 2 sumber yang mengetahui situasi itu, ketika ibu negara China itu sedang melakukan persiapan untuk perhimpunan politik besar.

Orang ramai yang tiba dari kawasan lain di China tidak lagi diwajibkan dikuarantin selama 2 minggu melainkan mereka dari kawasan berisiko tinggi seperti Heilongjiang di utara dan beberapa bahagian Guangdong di tenggara, kata sumber itu, meminta dirahsiakan namanya kerana maklumat tersebut tidak didedahkan secara terbuka.

Pihak berkuasa tempatan Beijing tidak segera memberi maklum balas ketika diminta memberi komen melalui faks.

Ketika ini, rakyat China yang tinggal di Beijing tidak dibenarkan pulang ke rumah tanpa dikuarantin terlebih dulu kecuali dalam keadaan tertentu, dan mereka yang enggan melakukannya atau mematuhi peraturan rasmi untuk mengekang penularan boleh dihukum.

Kelonggaran peraturan kuarantin bagaimanapun tidak membabitkan pelancong dari luar negeri, kata sumber tersebut.

Beijing mula mengkuarantin semua pelancong dari luar negara, termasuk rakyat China, mulai Mac di kawasan yang ditetapkan selama 14 hari.

Apabila kes tempatan disahkan menurun, sekatan di seluruh negara perlahan-lahan dilonggarkan. Beijing belum melaporkan kes jangkitan tempatan sejak 15 Apr.

Media negara itu pada Rabu melaporkan parlimen akan memulakan sesi tahunan utamanya pada 22 Mei, tanda terbaru negara itu berusaha kembali beroperasi seperti biasa.

Perhimpunan Kongres Rakyat Kebangsaan secara tradisinya menyaksikan lebih 5,000 perwakilan dari seluruh China berhimpun di Beijing sekurang-kurangnya selama 10 hari.