Kreatif… China ambil ilham Dinasti Song, India guna payung untuk kekal jarak selamat

Mengambil ilham dari kerabat Dinasti Song, China perkenal topi untuk pelajar sekolah kekal jarak selamat. (Gambar Twitter)

Selain topeng hidung dan mulut, kini topi rekaan khas diperkenalkan sebagai alat pelindung diri daripada wabak Covid-19.

Sebuah sekolah rendah di Hangzhou, China mengambil ilham daripada pakaian kerabat raja zaman Dinasti Song, antara 960 hingga 1279 masihi, sebagai cara mengekalkan jarak antara satu sama lain ekoran daripada pandemik Covid-19.

Pelajar sekolah berkenaan dilihat memakai topi khas yang disertakan bersama sayap dikiri dan kanan kepala, bagi memastikan jarak sekurangnya satu meter daripada mereka.

Menurut kisah lagenda, topi yang dipakai oleh kerabat Song dahulu berfungsi supaya tidak ada orang yang boleh berbisik ketika perbicaraan dalam mahkamah sedang dijalankan.

Mempunyai fungsi yang lebih kurang sama, sekolah rendah ini mewajibkan pelajar mereka memakai topi berkenaan sejak sekolah mulai dibuka pada Isnin.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebelum ini menyarankan agar orang ramai berada pada jarak selamat sekurangnya 1 meter dari orang lain bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, India antara negara yang sering mencuri perhatian ramai khasnya ketika pandemik Covid-19 ketika ini.

India buat ‘social distancing’ guna payung yang dibuka, 2 payung bersamaan 1m. (Gambar Twitter)

Mana tidaknya, ada sahaja cara yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara itu bagi mengajar rakyatnya agar patuh kepada undang-undang.

Terbaru, menerusi portal berita negara tersebut melaporkan, salah satu cara bagi memastikan jarak yang selamat antara satu sama lain iaitu dengan menggunakan payung yang dibuka.

Memetik laporan Khaleej Times, payung itu diperkenalkan kerajaan tempatan dan inisiatif Menteri Kewangan negeri terbabit, T.M. Thomas Isaac.

“Apabila 2 payung dibuka, ia secara tak langsung memastikan jarak 1 meter minimum seorang”, kata Thomas Isaac menerusi laman Twitter miliknya.

Idea itu juga menjadi projek “Break The Chain Umbrella” yang memperuntukkan 10,000 payung kepada penduduk setempat.

Malah Presiden Thanneermukkom Panchayat turut menyatakan selain digunakan sebagai pelindung hujan dan panas, payung kini digunakan sebagai alat penjarakan sosial.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]