Lapangan terbang kecil jamin bantuan sampai ke kampung terpencil di Sarawak

Lapangan terbang Ba’kelalan menyelaras penerbangan antara Lawas, Bario dan juga Lapangan Terbang Miri. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sewaktu kebanyakan lapangan terbang tidak berfungsi semasa krisis Covid-19, lapangan terbang kecil (STOLport) di Sarawak terus sibuk dengan peranannya sebagai titik masuk bagi penyaluran bekalan kepada penduduk di kawasan pedalaman.

Salah satu daripada lapangan terbang itu terletak di Ba’kelalan, yang terletak 8 jam perjalanan dengan kenderaan pacuan 4 roda dari bandar terdekat, iaitu Lawas.

Sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) menggunakan 12 STOLport di negeri itu bagi memastikan komuniti terpencil tidak terputus hubungan.

Perkampungan terbabit bergantung pada pengakutan udara bagi mendapatkan bekalan perubatan, selain barangan keperluan asas lain seperti gula, minyak masak dan tepung.

Penerbangan pertama dari Miri mendarat di STOLport Ba’Kelalan pada awal April.

Selain peranan pentingnya dalam penyaluran bantuan, lapangan terbang kecil ini juga memberi sumbangan ekonomi, iaitu dengan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat.

Operatif lapangan terbang tempatan di Lun Bawang, Michael Racha Agung berkata, STOLport Ba’kelalan penting kerana ia menyediakan akses segera ke kawasan terpencil yang sukar dihubungi melalui jalan darat.

“Keutamaan kami ialah memastikan lapangan udara dan landasan terbang beroperasi dengan cekap supaya penerbangan dan kargo boleh sampai dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh MAHB.

Michael, yang bekerja di STOLport selama lebih 20 tahun berkata, kedudukan Ba’kelalan yang terpencil adalah kedua-dua rahmat dan sumpahan kerana ia melambatkan penularan wabak Covid-19 dan pada masa sama melengahkan bantuan daripada tiba kepada komuniti terpencil di kawasan itu.

Alice Martin, yang bekerja di lapangan terbang sama lebih 30 tahun berkata, komuniti setempat berdepan cabaran baru berikutan pandemik Covid-19.

Salah satu daripada cabaran itu ialah menyediakan akses kepada kemudahan kesihatan. Hospital terdekat terletak di Lawas.

“Jadi penduduk di sini bergantung pada klinik kesihatan tempatan, yang mempunyai bekalan ubat dan peralatan perubatan canggih yang terbatas bagi menangani wabak tersebut.

“Kami bekerjasama dengan Rela bagi memastikan Ba’kelalan bersedia dalam menghadapi apa-apa juga wabak yang berlaku, walaupun sekiranya kami terpaksa menerbangkan pesakit ke Hospital Lawas,” katanya.

Kakitangan STOLport seperti Alice dan Martin bekerja rapat dengan kerajaan negeri Sarawak, Kementerian Pengangkutan dan Kesihatan serta pihak berkuasa penerbangan bagi menyelaras penerbangan tersebut.

Lapangan terbang Ba’kelalan menyelaras penerbangan antara Lawas dengan Bario dan Lapangan Terbang Miri.

Ini termasuklah 4 penerbangan MASwings seminggu untuk penduduk tempatan, helikopter kargo dan penerbangan ad-hoc perkhidmatan perubatan Doktor Udara Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan.