Masjid di Turki sediakan ‘pasar raya’ mini bantu golongan terjejas secara percuma

Masjid itu menyediakan khidmat pasar mini sejak 2 minggu lalu dan berjaya membantu sekitar 120 individu yang memerlukan setiap hari. (Gambar Twitter)

Ekoran wabak Covid-19 memaksa semua masjid untuk melarang solat jemaah bagi mengelakkan penularan.

Bagaimanapun sebuah masjid di Istanbul, Turki menempatkan sebuah “pasar raya” mini untuk golongan yang terjejas.

Menurut Imam Masjid Dedeman, Abdul Samet Cakir, beliau memulakan idea itu untuk membantu golongan miskin yang berada sekitar tempat beribadah itu.

“Selepas solat berjemaah tidak dibenarkan di masjid, saya mempunyai idea untuk menghidupkan kembali masjid-masjid dengan menyatukan golongan berkemampuan dengan golongan yang memerlukan,” kata Imam Cakir.

Imam yang berusia 33 tahun itu juga memaklumkan masjid itu menyediakan khidmat tersebut sejak 2 minggu lalu dan berjaya membantu sekitar 120 individu yang memerlukan setiap hari.

“Senarai bantuan itu mempunyai lebih daripada 900 orang. Kami juga melakukan jarak sosial serta memakai penutup hidung dan mulut dan hanya membenarkan 2 orang masuk ke masjid untuk mengambil apa sahaja yang diperlukan,” jelasnya.

Masjid yang berada di daerah Sariyer, Istanbul itu tidak menerima derma dalam wang tunai sebaliknya menerima pakej bantuan dari segi barang keperluan asas.

Malah rak-rak di masjid itu juga dipenuhi barangan yang dihantar dari seluruh Turki dan juga dari luar negara.

Antara barangan dapur yang ada pasta, botol minyak, biskut dan beberapa bahan asas yang lain.

“Semua orang melakukan apa sahaja untuk membantu mereka yang memerlukan. Misalnya, seorang lelaki Muslim yang tinggal di Perancis membuat pembelian dalam talian dan menghantar bantuan ke masjid kita,” katanya.

Untuk rekod, Turki kini mencatatkan 112,261 kes positif COVID-19 dan 2,900 angka korban.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]