Menteri agama digesa guna pengaruh hentikan kempen kebencian terhadap Rohingya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri

PETALING JAYA: Seorang aktivis hak asasi manusia menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri menghentikan kempen kebencian terhadap komuniti pelarian Rohingya di Malaysia, selepas satu klip video menunjukkan seorang lelaki tempatan berulang kali menghina seorang pemotong rumput Rohingya.

Afiq M Noor yang bersama kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty, berkata Zulkifli yang juga bekas mufti Wilayah Persekutuan perlu tampil dengan pendirian tegas terhadap Rohingya.

Katanya, gangguan terhadap anggota komuniti Rohingya bertentangan semangat Islam.

“Apa yang berlaku kepada kita pada bulan Ramadan ini? Ini adalah kesan negatif daripada naratif kebencian di media sosial yang menjadi realiti.

“Kebanyakan orang berpendapat kita tidak menandatangi triti mengenai pelarian, oleh itu kita tiada kewajipan untuk menerima dan melayan mereka dengan bermaruah serta berperikemanusiaan.

“Mungkin mereka lupa Perlembagaan Persekutuan memberi perlindungan kepada semua orang. Perkara 8 jelas menyatakan setiap orang tidak kira warganegara atau tidak, perlu dilayan secara sama rata,” katanya kepada FMT.

Afiq berkata, Malaysia mengiktiraf Deklarasi Kaherah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang antara lain menggesa negara anggota melindungi pelarian.

Tangkap layar satu klip video yang dimuat naik ke Facebook menunjukkan pemotong rumput Rohingya ini dipaksa menjawab soalan daripada seorang lelaki tempatan.

Semalam, FMT melaporkan seorang pemotong rumput Rohingya diganggu seorang lelaki tempatan dalam satu rakaman video di Facebook.

Klip video selama 4 minit yang dimuat naik ke Facebook itu menunjukkan lelaki tempatan itu memarahi etnik Rohingya terbabit kerana tidak memahami permintaan untuk mengucap dua kalimah syahadah bagi membuktikan beliau beragama Islam.

Ia menyusul komen xenofobia yang semakin memuncak terhadap komuniti Rohingya baru-baru ini dengan pemimpin agama dan aktivis hak asasi menggesa semua pihak bertenang, selepas berita palsu mendakwa pelarian Rohingya di Malaysia menuntut kerakyatan dan tindakan pihak berkuasa menghalang kemasukan bot membawa ratusan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar.

Sementara itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bimbang dengan kejadian terbaru itu.

“Sikap ini sangat melampau dan saya rasa ini akibat daripada sentimen xenofobia yang menganggap semua pelarian Rohingya tidak dapat diterima walaupun dia Islam.

“Ini menunjukkan sentimen xenofobia sudah cukup merebak dan kemungkinan tak terkawal,” kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid kepada FMT.

Beliau memberi amaran serangan sama mungkin berlaku kepada komuniti pelarian lain, jika trend itu berterusan.

Dalam klip video itu, pemotong rumput terbabit yang dalam perjalanan ke tempat kerja turut dimarahi kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Afiq berkata, lelaki dalam video itu mungkin perlu bekerja ketika PKP hanya untuk meneruskan hidupnya.

Beliau tertanya-tanya jika “Musa’adah Covid-19”, tabung khas yang dilancarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membantu pihak terjejas akibat PKP, akan turut digunakan untuk membantu komuniti pelarian.

“Hakikatnya ramai di antara mereka yang masih bergelut dan perlu bekerja sepanjang tempoh PKP.

“Dengan naratif negatif menyasarkan mereka, anda sangka pelarian akan beratur dan meminta bantuan?” soal Afiq.

Afiq sebelum ini mengingatkan umat Islam yang membantah kehadiran Rohingya di Malaysia, dengan berkata umat Islam awal pada zaman Nabi Muhammad terpaksa menjadi pelarian.

“Mereka lari dari kampung halaman mereka ke negeri yang dipimpin oleh seorang Kristian untuk mendapatkan perlindungan bukan sekali, tapi 2 kali,” tulis Afiq di Twitternya baru-baru ini.

Beliau memberi amaran jika ada pelarian di Malaysia yang mati kelaparan, “darah mereka akan berada di tangan kita”.