Pelajar matrikulasi Labuan jalani saringan Covid-19 sebelum dibenar pulang

Kolej Matrikulasi Labuan dikategorikan sebagai kawasan zon hijau Covid-19.

LABUAN: 2,341 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (LMC) hari ini mula menjalani ujian saringan Covid-19, sebelum dibenarkan pulang ke kampung halaman minggu depan, kata pengarah LMC Mohd Idris Omar.

Syarat wajib itu dditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan Sabah.

Mohd Idris berkata kolej itu mempunyai 2, 876 pelajar berdaftar, tetapi 535 pelajar telah pulang pada 19 Mac lepas.

Katanya, pelajar berasal dari Sabah merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 1,945 diikuti 860 pelajar daripada Sarawak, Labuan (67), Kuala Lumpur (2) dan masing-masing 1 dari Terengganu dan Johor.

“Setiap pelajar diwajibkan menjalani saringan dan hanya mereka yang sihat akan dibenarkan pulang ke kampung halaman, manakala yang tidak sihat (mengalami demam, batuk, selesema, simptom seperti selesema atau sesak nafas) akan dirawat oleh petugas kesihatan Labuan di sini,” katanya hari ini.

Mohd Idris berkata, sekurang-kurangnya 10 buah bas disewa untuk mengangkut pelajar dari Labuan ke pelbagai destinasi di Sabah.

“Bagi pelajar dari Sarawak dan semenanjung yang memerlukan penerbangan, kami sedang berusaha menempah tiket penerbangan untuk mereka dan kami berharap ibu bapa pelajar bersabar kerana penerbangan dari Labuan ke Kuala Lumpur dan Sarawak amat terhad,” katanya.

Mohd Idris berkata LMC dikategorikan sebagai kawasan zon hijau Covid-19.