Sabah belum benar pergerakan 2 orang dalam 1 kenderaan, kata Shafie

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal (kiri) berkata, keputusan kerajaan persekutuan perlu diperinci oleh Pusat Arahan Covid-19 negeri sebelum ia dilaksanakan. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah belum membuat keputusan untuk membenarkan pergerakan 2 orang dalam 1 kenderaan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sepertimana yang diumumkan oleh Putrajaya hari ini.

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata, keputusan yang dibuat oleh kerajaan persekutuan perlu diperinci dan dibincangkan terlebih dahulu oleh Pusat Arahan Covid-19 Sabah sebelum ia dilaksana di peringkat negeri ini.

“Kita perlu mengkaji kesannya terlebih dahulu. Sekiranya ia boleh dilaksana tanpa ada kesan buruk yang timbul kita akan laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan pakar perubatan dari China di sini, hari ini.

Shafie berkata, pergerakan 2 orang dalam 1 kenderaan hanya diberikan untuk tujuan tertentu, khususnya dalam perkhidmatan yang dibenarkan sahaja.

Kerajaan pusat hari ini memutuskan untuk memberi sedikit kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam PKP fasa ke-4 dengan membenarkan 2 orang bergerak dalam 1 kenderaan bermula hari ini.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka perlu terdiri daripada ahli keluarga dari rumah yang sama, dan pergerakan itu bagi membeli makanan dan barang keperluan harian.