Wan Azizah beritahu siapa selaras sumbangan Qatar kepada Rohingya

Bekas timbalan perdana menteri Wan Azizah Wan Ismail

PETALING JAYA: Bekas timbalan perdana menteri Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan agensi yang menyelaraskan sumbangan Qatar bernilai AS$50 juta (RM218 juta) sebagai bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di negara ini.

Beliau berkata peruntukan itu tidak pernah disalurkan kepada kerajaan Pakatan Harapan tetapi diberi terus oleh Qatar melalui Qatar Charity (QC) kepada NGO terlibat.

“Yayasan Kebajikan Negara, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah badan penyelaras bagi bantuan itu selaras keputusan Kabinet pada 5 April 2019.

“Keputusan Kabinet itu juga melantik Majlis Keselamatan Negara sebagai pengerusi jawatankuasa pemantau bagi program ini dan melapor terus kepada satu jawatankuasa tertinggi yang saya pengerusikan sehingga 23 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kerajaan PH menerima dana sebanyak RM50 juta daripada Qatar.

“Semasa Barisan Nasional menjadi kerajaan, kami mengusahakan dana bagi membantu pelarian Rohingya. Qatar berbesar hati memberi penajaan terhadap isu Malaysia ketika itu.

“Namun kerajaan ketika itu tidak menerima apa dana atau bantuan bagi membantu Rohingya. Sehinggalah tampuk di Putrajaya berubah,” kata Zahid menerusi Facebook.

Wan Azizah berkata jemaah menteri mengolah struktur pentadbiran bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan dan pengendalian program itu sesuai dengan penekanan kerajaan PH ketika itu atas akauntabiliti, ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik.

Beliau yang juga bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata, bantuan kemanusiaan untuk pelarian Rohingya di Malaysia membabit 3 sektor iaitu kesihatan, pendidikan dan mandiri kehidupan menggunakan peruntukan Qatar Fund for Development (QFFD).

Bagi pelaksanaan sektor kesihatan, beliau berkata, satu perjanjian projek dimeterai pada 13 September 2019 di antara YKN, QC dan 3 NGO, iaitu Mercy Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret) dan Malaysia Relief Agency (MRA).

Beliau berkata perjanjian itu bagi tempoh setahun sehingga 12 September ini dan akan disambung setiap tahun selama 3 tahun, dengan peruntukan tahunan sebanyak AS$5 juta (RM21.7 juta).

“Bantuan dari Qatar sedikit sebanyak mengurangkan sebahagian beban yang selama ini dipikul kerajaan mengenai pelarian Rohingya dan dengan itu manfaatnya dapat dialihkan kepada rakyat Malaysia,” katanya.