Guna budi bicara hukum pengingkar PKP ikut tahap kesalahan, kata peguam

Individu yang melanggar PKP boleh didenda RM1,000, dipenjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya.

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty (LFL) menggesa pihak berkuasa menggunakan budi bicara ketika menahan dan mendakwa pengingkar perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana kesalahan ringan yang dikatakan tidak akan merisikokan orang ramai dijangkiti virus Covid-19.

Ia memberi contoh hukuman penjara 30 hari ke atas seorang ibu tunggal yang digantikan denda RM1,000 selepas dia ditahan di penjara selama 8 hari.

“Dengan menahan, mendakwa dan menghukum individu tanpa melihat keadaan kes mereka, risikonya ialah penguatkuasaan PKP akan menimbulkan kesulitan, trauma dan risiko jangkitan lebih besar berbanding mencapai matlamat asalnya.

“Jika pihak berkuasa mahu mendapatkan kepercayaan dan kerjasama orang ramai, ini bukan caranya. Apa yang diperlukan ialah konsistensi dalam penguatkuasaan, keseragaman dalam layanan dan tumpuan terhadap pelanggaran paling serius PKP,” kata penyelaras undang-undang LFL, Zaid Malek dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jumlah tangkapan pengingkar PKP yang melebihi 20,000 orang sehingga kini membimbangkan.

“(Ini) walaupun hakikat tahap pematuhan diketahui sangat tinggi, malah sehingga 99% menurut ketua polis negara.

“Tindakan ini bertentangan garis panduan antarabangsa mengenai penahanan ketika pandemik Covid-19 dan tujuan PKP, iaitu untuk melaksanakan penjarakan sosial dan memutuskan rantaian jangkitan.

“Penjara dan pusat tahan penuh sesak menjadikannya mustahil untuk tahanan serta kakitangan mengamalkan penjarakan sosial, oleh itu memenjarakan sejumlah besar pengingkar bagi kesalahan kecil meningkatkan risiko Covid-19 bagi seluruh populasi.”

Individu yang melanggar PKP boleh didenda RM1,000, dipenjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya.