Inspektor polis akan didakwa rogol 2 wanita Mongolia

Inspektor Hazrul Hizham Ghazali dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang semalam.

PETALING JAYA: Seorang inspektor polis yang didakwa atas pertuduhan pemerdagangan manusia membabitkan 2 wanita Mongolia semalam, akan dihadapkan ke mahkamah semula hari ini untuk berdepan dakwaan rogol.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata Jabatan Peguam Negara sudah mengarahkan pegawai itu didakwa dengan dakwaan rogol di bawah Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan.

Seksyen itu berkaitan jenayah rogol menggunakan kedudukan kuasa seseorang ke atas mangsa.

Semalam, Mahkamah Sesyen Klang mendakwa Hazrul Hizham Ghazali dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dengan eksploitasi seks di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran kerana mengeksploitasi 2 wanita Mongolia berusia 20 dan 36 tahun.

Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah hotel di Petaling Jaya antara 10 dan 11 April lalu.

Polis menyiasat pegawai terbabit atas dakwaan rogol dan pemerdagangan manusia.

Hari ini, Huzir berkata, tindakan terhadap inspektor itu menunjukkan pasukan polis tidak pernah berkompromi dan melindungi anggotanya.

“Malangnya, terdapat segelintir masyarakat atau kumpulan masyarakat seolah-olah cuba mempertikai kewibawaan polis dalam mengendalikan kes melibatkan pegawainya sendiri.”

Semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal dilaporkan berkata, Hazrul akan berdepan 6 pertuduhan merogol mangsa pertama dan 2 pertuduhan merogol mangsa kedua.