Istana Negara serah sumbangan kepada keluarga hidup susah sara 9 anak, 4 cacat

Caption: Pegawai kanan Istana Negara menyampaikan sumbangan peribadi Agong kepada Samsuddin Ramli dan isterinya Suhaily Ramli di PPR Kota Damansara. (Gambar Instagram)

PETALING JAYA: Istana Negara hari ini menyampaikan bantuan kepada keluarga Suhaily Ramli, 44, bekas pembantu jururawat yang berdepan kesukaran menjaga 9 anaknya yang mendapat perhatian banyak pihak sejak kisah mereka disiarkan hujung minggu lalu.

Kisah penderitaan keluarga Suhaily dan suaminya Samsudin Ramli, 48, dilaporkan FMT Ahad lalu. Sejak itu keluarga itu menerima bantuan kewangan, barangan makanan malah peluang pekerjaan daripada pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib mereka.

Samsudin, sebelum ini menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual sarung kaki anti-bau diperbuat daripada buluh sambil dibantu isterinya di pasar malam, hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac.

Pasangan itu yang dikurniakan 9 anak dengan 4 daripada mereka mempunyai masalah kesihatan dan kelainan upaya.

“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Istana Negara diwakili pegawai kanan Muzli Mohd Zin menyampaikan sumbangan peribadi Yang di-Pertuan Agong kepada keluarga Encik Samsudin Ramli di Kota Damansara,” kata Istana Negara menerusi akaun Instagramnya hari ini.

“Seluruh keluarga Encik Samsuddin mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas sifat keprihatinan baginda membantu keluarga beliau.

“Semoga sumbangan tersebut membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

Keluarga berkenaan tinggal di sebuah flat di projek perumahan rakyat (PPR) di Kota Damansara.

Suhaily melepaskan kerjayanya sebagai pembantu jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas anak sulungnya yang berusia 22 tahun terlantar dan kini bernafas menerusi tiub dari lehernya selepas terlibat dalam kemalangan motosikal 4 tahun lalu.

Manakala 2 anak perempuannya berusia 21 dan 18 tahun, kedua-duanya menghidap gangguan belajar, sementara anak perempuannya yang berusia 3 tahun dilahirkan dengan gangguan genetik Sindrom Down.

Sementara itu, Suhaily ketika dihubungi FMT menyatakan kesyukuran dan amat gembira menerima bantuan daripada Istana Negara.

Suhaily berkata beliau tidak menyangka penderitaan keluarganya mendapat perhatian Agong dan orang ramai.

“Saya gembira sangat. Tak tahu nak cakap macam mana. Pegawai kanan Agong sangat baik dan beliau bertemu dengan semua anak saya.

“Beliau memberi bantuan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada suami,” katanya.

Beliau berkata wang bantuan yang diterima akan digunakan untuk membeli perkakasan rumah seperti katil dan peti ais yang sudah rosak selain memenuhi keperluan anak-anaknya.