Jangan lanjut PKP jika kes baru Covid-19 terus turun, kata aktivis Sarawak

Seorang aktivis Sarawak berkata, pengurangan kadar kes baru Covid-19 menunjukkan kini ialah masa untuk PKP ditamatkan. (Gambar Bernama)

KUCHING: Pemimpin sebuah NGO berpangkalan di Sarawak menggesa kerajaan tidak melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang akan berakhir 12 Mei ini, jika jumlah kes baru Covid-19 terus berkurangan.

Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia, Philip Wong berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan kesan ekonomi daripada lanjutan PKP.

Tetapi, beliau berkata, kebimbangan utamanya ialah survival perniagaan kecil dan sumber pendapatan pekerja.

“Bantuan kewangan kerajaan hanya untuk jangka pendek. Kita di bawah PKP hampir 2 bulan dan perniagaan runcit kecil-kecilan, termasuk kedai kopi dan restoran teruk terjejas.

“Kita bimbang PKP akan dilanjutkan lagi walaupun hakikatnya kadar jangkitan baru adalah rendah.

“Malah, ketua pengarah kesihatan sudah berkata kita berkata meratakan lekuk,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau menggesa langkah membendung penularan virus itu diteruskan, termasuk ujian saringan dan pengesanan kontak, serta rakyat perlu mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri di tahap tinggi.

“Kita perlu faham menyelamatkan nyawa adalah penting dan perlu diutamakan, tetapi kita juga harus mempertimbangkan membuat keputusan praktikal mengenai ekonomi negara dan punca pendapatan rakyat.”

Sebuah lagi NGO, Rise of Sarawak Efforts (Rose), menggesa kerajaan bekerjasama dengan pakar dalam pelbagai bidang untuk tampil dengan cadangan bagaimana rakyat harus menjalani kehidupan mereka dan perniagaan beroperasi selepas PKP berakhir.

“Kita semua tahu PKP tidak akan menyaksikan penghapusan Covid-19 sepenuhnya. Ia hanya akan memberi kita lebih banyak masa dan mengurangkan jumlah kematian,” kata Pengerusi Rose, Ann Teo.

“Tetapi, pihak berkuasa belum memberi sebarang petanda ia mempunyai strategi untuk tempoh selepas PKP dan ini membimbangkan.

“Sebagai permulaan, cadangan saya ialah membuka semula aktiviti perniagaan atau perindustrian di zon hijau, tetapi sempadan bahagian ditutup atau pergerakan antara bahagian atau antara daerah dipantau secara dekat.

“Kita tahu tiada duluan, tetapi kita boleh belajar daripada negara lain bagaimana memulakan semula ekonomi dan meneruskan kehidupan kita.”